KUALA LUMPUR, 20 Mac — Grab Malaysia memperkenalkan 5-Star Eats, iaitu panduan makanan dalam aplikasi yang mendapat sokongan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan gastronomi bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Inisiatif itu memanfaatkan jutaan ulasan pelanggan dalam platform Grab untuk membantu pelancong mencari lokasi makan tempatan yang popular dan terbaik, selaras dengan usaha Malaysia menjadikan makanan sebagai pemacu utama pelancongan.
Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia Tan Jiong Jian berkata platform itu menukar maklum balas pengguna kepada maklumat digital, membolehkan pengunjung lebih mudah untuk meneroka lokasi yang tersembunyi dan restoran ikonik dengan lancar.
“Makanan adalah nadi pengalaman Malaysia dan inisiatif ini memastikan setiap pelancong mendapatkan tawaran terbaik yang terdapat di negara ini. Dengan kerjasama Tourism Malaysia, kami memudahkan setiap pengembara untuk menjelajah landskap gastronomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
5-Star Eats menampilkan peniaga yang sentiasa menerima penarafan tinggi pada skala 0-5, membolehkan pengguna mendapatkan ulasan makanan terpilih mengikut lokasi dan kategori, sambil mengintegrasikan perkhidmatan navigasi serta pengangkutan dalam satu platform.
Inisiatif itu juga bertujuan meningkatkan perniagaan makanan kecil dan sederhana dengan memberikan pendedahan lebih luas serta menempatkan mereka sebagai duta kulinari, sekali gus mengukuhkan ekosistem tempatan dan menyokong pertumbuhan pelancongan di seluruh negara.
Sempena dengan pelancarannya, Grab memperkenalkan mural seni jalanan di Jalan Hang Kasturi, berhampiran Pasar Seni, yang melambangkan hubungan antara penemuan digital dan suasana makanan yang meriah.
Mural Grab 5-Star Eats yang dihasilkan oleh pelukis tempatan, Nasuha Ibrahim, mempamerkan kepelbagaian masakan Malaysia dan warisan budaya.
Acara pelancarannya turut dihadiri Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy, dan Pengarah Kanan Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia Akbal Setia.
“Grab lebih daripada sekadar platform mobiliti, ia juga peneman bagi setiap pelancong yang meneroka Malaysia. Sempena kedatangan jutaan pelawat untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kami berbangga memanfaatkan teknologi dan platform kami bagi memudahkan setiap perjalanan dan menjadikan setiap hidangan pengalaman yang lancar, selesa dan bermakna,” kata Tan.
Apabila aspek makanan turut mempengaruhi keputusan majoriti pelancong dalam perjalanan mereka, maka inisiatif berkenaan dijangka terus menempatkan Malaysia sebagai destinasi kulinari terkemuka di rantau ini.

















Tinggalkan Balasan