Hasil Perbincangan Perdagangan China-AS di Madrid Amat Berharga

Perbincangan perdagangan dan ekonomi antara China dengan Amerika Syarikat (AS) yang diadakan di Madrid, Sepanyol pada 14 hingga 15 September, berlangsung dengan lancar, kedua-dua pihak berkomunikasi secara terus terang, ikhlas, mendalam dan terperinci berhubung isu perdagangan dan ekonomi yang menjadi tumpuan kedua-dua negara.

China dan AS turut mencapai konsensus asas berkaitan isu-isu membabitkan TikTok menerusi rangka kerjasama, pengurangan halangan pelaburan dan dorongan kerjasama ekonomi dan perdagangan berkaitan.

Pada masa akan datang, kedua-dua pihak dijangka akan mengadakan rundingan mengenai dokumen berkaitan dan melaksanakan prosedur kelulusan negara masing-masing.

Menurut penganalisis, konsensus rangka asas adalah sangat berharga serta menjadi satu titik permulaan, dan banyak butiran terperinci perlu dilaksanakan pada masa hadapan.

Profesor Li Haidong dari Universiti Hal Ehwal Luar Negeri China (CFAU) berpendapat bahawa konsensus yang dicapai China dan AS dalam bidang data dan algoritma menawarkan asas untuk menangani isu TikTok secara sesuai, sekali gus mewujudkan syarat bagi pertukaran teknologi dan keterbukaan pasaran China-AS. 

Menurut beliau, hal ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam isu-isu tertentu, namun selagi China dan AS bergerak ke arah yang sama, pasti mampu mencari jalan penyelesaian.

Pencapaian konsensus penting antara China dengan AS dalam isu tersebut, sekali lagi membuktikan intipati hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS adalah saling menguntungkan dan menang-menang.

Dalam isu TikTok, sikap China adalah jelas, iaitu tindakan AS telah membelakangi prinsip pasaran dan peraturan ekonomi dan perdagangan antarabangsa. 

Sehubungan itu, China secara tegas akan melindungi kepentingan negara dan hak serta kepentingan sah perusahaan China di luar negara, sekali gus mempertahankan keadilan dan kesaksamaan antarabangsa.

Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS yang stabil adalah sangat penting bagi kedua-dua negara, malah mempunyai pengaruh penting terhadap kestabilan dan pembangunan ekonomi global.

Bagaimanapun, sebelum perbincangan Madrid itu diadakan, Jabatan Perdagangan AS telah mengenakan sekatan terhadap beberapa entiti China dalam bidang semikonduktor, bioteknologi, aeroangkasa dan perdagangan logistik. 

Ditambah dengan siri langkah sekatan dan tekanan yang tidak munasabah dilakukan AS terhadap  China sebelum ini, AS dilihat semakin menyalahgunakan alasan keselamatan negara.

Perbuatan AS tersebut pasti mengundang bantahan keras daripada China. 

AS diharap segera membatalkan langkah-langkah sekatan terhadap China dan melaksanakan hasil perbincangan melalui tindakan praktikal. 

Adalah mustahil untuk mengharapkan China memenuhi keperluan AS, sementara mereka terus melakukan tindakan sekatan terhadap perusahaan China.

Pada masa ini, pertumbuhan ekonomi global kekurangan momentum, China menegaskan bahawa solidariti antarabangsa adalah satu-satunya jalan keluar, manakala perlindungan perdagangan hanyalah penyelesaian jangka pendek.

Walaupun terdapat banyak perbezaan pendapat dalam hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dan AS, namun rundingan merupakan jalan penyelesaian kepada setiap masalah.

China dan AS harus melaksanakan konsensus dicapai antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara, khususnya AS perlu menyediakan persekitaran perniagaan yang terbuka, adil, saksama dan tidak diskriminasi bagi perusahaan China termasuk TikTok, bersama-sama mengekalkan hasil rundingan ekonomi dan perdagangan China-AS yang sangat berharga, di samping terus mendorong hubungan bilateral sektor ekonomi dan perdagangan berkembang secara sihat, stabil dan berterusan.