KUALA LUMPUR, 22 Sept — Negara-negara di rantau Asia Tenggara dan Korea Selatan (ROK) perlu menggerakkan kerjasama mereka melangkaui petunjuk ekonomi tradisional serta memberikan tumpuan pada autonomi strategik jangka panjang dan daya tahan digital.
Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan minggu ini memberikan peluang kepada ASEAN dan Korea Selatan untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan strategik, kata Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.
Pakar Perang Saraf, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM itu berkata sebarang perluasan kerjasama ASEAN-ROK perlu terus berlandaskan prinsip teras ASEAN, iaitu kedaulatan, tidak meminggirkan mana-mana pihak dan pembangunan seimbang di seluruh negara anggota.
“ASEAN tidak boleh menjejaskan autonominya atas nama kerjasama yang lebih luas.
“Semua kerjasama strategik perlu selaras dengan rangka kerja ASEAN-politik-keselamatan, sosiobudaya dan komuniti ekonomi-tanpa menjejaskan identiti institusinya,” katanya kepada Bernama, merujuk kepada cabaran yang wujud daripada dinamik global semasa.
Noor Nirwandy menekankan kepentingan menangani jurang perlindungan terhadap kesejahteraan individu di negara anggota yang kurang maju dan berpendapatan rendah terutamanya dalam bidang seperti kesaksamaan pendidikan, keterjaminan makanan dan kesedaran alam sekitar.
Beliau berkata Korea Selatan mempunyai peranan untuk memindahkan pengetahuan dan nilai etika yang dapat meningkatkan taraf hidup kumpulan mudah terjejas melalui program pembangunan bersama.
“Dasar tidak meminggirkan mana-mana pihak ASEAN perlu dipertahankan. Kerjasama perlu memastikan kemakmuran, literasi digital dan kesedaran kesihatan mencapai purata serantau di semua negara anggota,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa imej, kedudukan dan kepusatan ASEAN perlu dipelihara bagi mengelak manipulasi luaran atau perpecahan.
“ASEAN perlu mempamerkan kedudukannya sebagai blok kuasa sederhana baharu yang dapat bekerjasama dengan semua rakan utama, termasuk Korea Selatan, secara setara,” katanya.
Mengenai keselamatan serantau, Noor Nirwandy menggesa Seoul untuk meningkatkan sokongan terhadap Tinjauan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) dan mengelak daripada strategi unilateral yang memintas mekanisme ASEAN.
AOIP ialah rangka kerja strategik ASEAN untuk menggalakkan keamanan, kestabilan dan kerjasama inklusif di Indo-Pasifik berdasarkan kepusatan ASEAN dan undang-undang antarabangsa.
“Korea Selatan perlu menggunakan strategi Indo-Pasifiknya untuk menyokong pendekatan berasaskan undang-undang yang diterajui ASEAN, bukan menggantikannya.
“Kestabilan rantau ini bergantung pada ASEAN yang terus menjadi kuasa penstabil dalam mendepani persaingan geopolitik,” katanya.
Menangani ancaman digital moden
Melihat ke hadapan, beliau menggesa ASEAN dan Korea Selatan menubuhkan institusi bersama untuk menangani ancaman digital moden, termasuk forum melibatkan pakar pada peringkat ASEAN secara tetap mengenai keselamatan siber, maklumat palsu dan kepercayaan digital, disokong oleh sektor awam dan swasta.
“Komunikasi strategik, sistem semakan fakta dan latihan literasi media perlu diinstitusikan untuk menangkis perang maklumat. Hanya sedemikian, ASEAN dan Korea Selatan dapat membina kepercayaan yang kukuh dan infrastruktur digital yang selamat,” katanya.
Noor Nirwandy berkata inisiatif latihan bersama melibatkan kerajaan, masyarakat sivil dan sektor swasta dapat menempatkan kerjasama ASEAN-ROK sebagai model global untuk menangani ancaman keselamatan hibrid.
Tinggalkan Balasan