KUALA LUMPUR, 1 Sept — Apabila saluran paip Petronas Gas Bhd (PGB) meletup di Putra Heights semasa cuti Hari Raya Aidilfitri, mengeluarkan bebola api ratusan meter ke udara, ia merupakan peringatan yang jelas mengenai bagaimana pembangunan moden dan infrastruktur kritikal mesti seiringan dengan selamat.
Bagi PGB, keutamaan pertama adalah rakyat, dan tumpuannya adalah pada keselamatan, melindungi penduduk, mengawal kebakaran dan memindahkan mereka yang berisiko, kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PGB Abdul Aziz Othman.
Beliau berkata dalam beberapa jam selepas kejadian kebakaran itu, kakitangan PGB dan penduduk tempatan turun padang ke Masjid Putra Heights dan hospital berdekatan untuk membantu.
“Kira-kira 30 orang tampil ke hadapan pada hari raya kedua untuk membantu menguruskan pusat pemindahan dan menyokong mangsa. Kami juga menghantar pasukan ke hospital kerana beberapa mangsa melecur mendapatkan rawatan,” kata Abdul Aziz ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Sokongan kewangan dan pemulihan dilakukan dengan pantas apabila PGB mengeluarkan RM2.7 juta dalam bentuk wang tunai dan bantuan perubatan pada minggu pertama kejadian.
“Kami juga menyalurkan RM25 juta menerusi Kementerian Kewangan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membaiki rumah-rumah di Putra Heights dan Kampung Tengah,” katanya.
PGB juga bekerjasama rapat dengan KPKT bagi memastikan keluarga dapat pulang secepat mungkin.
Bagaimana ia berlaku
Saluran paip Putra Heights, dibina beberapa dekad lepas apabila kawasan itu sebahagian besarnya belum dibangunkan, tertanam kira-kira dua meter di bawah tanah dan telah beroperasi dengan selamat selama hampir 40 tahun, bagaimanapun dari semasa ke semasa, persekitaran di sekelilingnya berubah.
“Faktor antropogenik dan aktiviti dilakukan manusia mengganggu aliran air semula jadi dan melemahkan tanah liat di bawah saluran paip. Paip kami telah stabil selama hampir empat dekad tetapi tanah menjadi lembut pada titik terendah, menyebabkan ia terjejas,” kata Abdul Aziz.
Apabila paip dipisahkan, gas bertekanan tinggi dibebaskan seterusnya menyebabkan kebakaran dan menghasilkan api besar yang dilihat oleh penduduk berhampiran.
Penulis berada di lokasi kejadian
Penulis mendapat berita itu pada pagi hari kedua Hari Raya Aidilfitri, suasana masih meriah dan penulis sedang bersiap untuk melawat saudara-mara apabila berita tergempar mengenai letupan di Putra Heights disiarkan di televisyen.
Lokasi kejadian kelihatan jauh pada mulanya tetapi dalam perjalanan ke rumah terbuka makcik penulis di Puncak Alam, adik-beradik perempuan penulis sudah mula bercakap mengenai skala letupan berkenaan.
Menjelang tengah hari, ketika penulis sedang menikmati hidangan juadah raya, telefon saya berbunyi, mesej daripada editor eksekutif meminta penulis untuk bersiap sedia.
Beberapa minit kemudian, satu lagi arahan meminta penulis menuju ke Masjid Putra Heights yang telah diubah suai menjadi pusat pemindahan sementara untuk mangsa kerana Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dijangka mengadakan sidang media.
Selepas menghabiskan makanan, penulis membawa salah seorang ahli keluarga bersama dan memandu ke Putra Heights, tiba kira-kira setengah jam kemudian dan melihat keadaan sekeliling yang suram.
Dewan di masjid tersebut telah dibersihkan untuk keluarga ditempatkan di sana kerana rumah mereka mengalami kerosakan selepas kejadian letupan paip gas, penulis melihat ada mangsa mengalami luka ringan; seorang lelaki tua bergerak perlahan dengan bantuan dan seorang lelaki kurang upaya berbaring di atas tikarnya serta seorang Ibu menjaga anak-anaknya yang gelisah.
Tiada suasana sambutan Hari Raya di masjid itu, hanya wajah keletihan dengan pakaian yang ringkas.
Wartawan dan jurugambar sudah pun bertemu dan menemu bual beberapa keluarga, mendengar akaun, mengumpul butiran, dan menunggu kemas kini daripada pegawai yang berkaitan untuk memberi kenyataan terhadap insiden berkenaan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari membuat lawatan singkat, bercakap kepada penduduk dan para pegawai tetapi sidang media yang dijadualkan bersama Tengku Muhammad Taufik dibatalkan kerana beliau dikehendaki memberi taklimat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di lokasi letupan.
Selain taklimat teknikal dan lain-lain, penulis terkesan melihat kehidupan penduduk yang terlibat dengan insiden letupan gas di kawasan perumahan mereka terganggu secara tiba-tiba, mereka sepatutnya menyambut hari raya bagaimanapun ditempatkan di sana buat sementara dikelilingi orang yang tidak dikenali dan memikirkan langkah seterusnya.
Suasana di pusat penempatan sementara itu kekal dalam ingatan penulis, memberi peringatan bahawa perancangan keselamatan bukanlah satu langkah abstrak, apabila berlaku sesuatu ia memberi kesan yang sangat mendalam.
Rangkaian Kompleks, Pemantauan Berterusan
Abdul Aziz menekankan bahawa sistem saluran paip PGB sepanjang 2,000km sentiasa dipantau dengan teliti menggunakan teknologi yang sudah dibuktikan.
“Kami menjalankan program pemeriksaan dikenali sebagai Geopig – singkatan bagi Tolok Pemeriksaan Saluran Paip. Ia merupakan peranti pintar yang bergerak di dalam saluran paip, membuat pemetaan pada setiap meter untuk mengesan pergerakan atau penipisan dinding paip,” tambahnya.
Abdul Aziz berkata PGB telah melengkapkan pemeriksaan pada hampir keseluruhan sistem, dan setakat ini, tiada kebimbangan ketara ditemui.
Selain itu, syarikat tersebut turut menggunakan peralatan kebocoran fluks magnet dan ‘peranti pintar’ lain untuk mengukur ketebalan paip dan mengenal pasti hakisan.
“Kami sudah biasa menjalankan pembersihan atau ‘pigging’ menggunakan peralatan khas. Kami telah menggunakan peranti ini untuk memeriksa kehilangan logam dan mengesan kebocoran selama 40 tahun. Peranti terbaharu kami turut memantau pergerakan tanah di sekeliling paip,” katanya.
Abdul Aziz menambah bahawa PGB kini meneroka penyelesaian lebih maju, seperti pengawasan berasaskan satelit, kecerdasan buatan, dan platform digital untuk menyediakan syarikat itu dengan cerapan masa nyata.
“Biasanya, industri tidak menggunakan peralatan ini bagi saluran paip, tetapi kami ingin menggunakannya bagi meningkatkan keselamatan,” katanya.
Selain itu, setiap pejabat wilayah mempunyai pasukan keselamatan yang sentiasa dalam keadaan siap sedia dan bilik kawalan PGB menerima makluman 24/7.
“Setiap panggilan ke nombor kecemasan kami dijawab, dan dalam tempoh dua jam pasukan tindak balas boleh berada di lokasi,” kata Abdul Aziz.
Kesedaran Masyarakat dan Pendidikan
Di samping pendekatan teknikal, PGB juga melabur dalam orang ramai bagi membantu masyarakat yang terjejas daripada insiden Putra Heights.
“Kami membuka pusat perundingan dengan bantuan Hospital Putrajaya bagi keluarga yang terjejas, melancarkan sokongan kesihatan mental dan daya tahan, dan mewujudkan program ANA – Kesedaran dan Tindakan – melibatkan komuniti yang tinggal berhampiran laluan kami.
“Semua sesi ini memberi penjelasan mengenai perkara yang perlu diketahui apabila tinggal berhampiran laluan gas, cara bertindak ketika kecemasan, dan bagaimana penduduk boleh membantu memastikan laluan ini selamat,” kata Abdul Aziz.
Beliau mendedahkan bahawa kebanyakan penduduk tidak mengetahui apa yang terdapat di kawasan bawah tanah tempat tinggal mereka.
“Laluan kami ialah kira-kira 40 meter lebar dan biasanya tidak mempunyai sebarang struktur, tetapi apabila bandar semakin berkembang, pembangunan juga semakin hampir. Oleh itu, kesedaran adalah kritikal – semakin ramai orang mengetahuinya, semua orang akan lebih selamat,” kata Abdul Aziz.
Satu Pengajaran dan Maju ke Hadapan
Sementara itu, bagi PGB, insiden itu bukan sekadar satu cabaran operasi tetapi saat pembelajaran bagi industri.
“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Dalam tempoh 40 tahun kami mengendalikan saluran paip, tiada peristiwa seperti ini pernah berlaku. Tetapi kami sedang belajar dan menyesuaikan diri.
“Kami akan terus melabur dalam teknologi baharu dan merapatkan hubungan dengan masyarakat supaya infrastruktur dan komuniti boleh bersama-sama menjaga keselamatan,” kata Abdul Aziz.
Beliau juga menekankan keperluan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemaju dan pemilik rumah.
“Saluran paip kami mesti diutamakan. Tetapi hari ini, pembangunan semakin hampir dengan koridor kami, kadangkala tanpa input daripada kami. Tiada undang-undang yang memerlukan pemaju memaklumkan pembeli bahawa mereka berada hampir dengan utiliti,” katanya.
Walaupun PGB tidak boleh mengawal pembangunan bandar, Abdul Aziz percaya pengajaran daripada Putra Heights boleh mengukuhkan perancangan dan keselamatan masa depan.
“Keutamaan sekarang ialah memulihkan kehidupan dan kediaman. Bagaimanapun, menuju ke masa hadapan, insiden ini telah mengingatkan semua pihak, seperti pengendali, pengawal selia, pemaju dan penduduk, bahawa keselamatan dikongsi bersama. Pembangunan mesti disusuli dengan pengetahuan dan tanggungjawab,” katanya.
Abdul Aziz berkata infrastruktur kritikal dan komuniti yang berkembang maju boleh wujud bersama, tetapi ia memerlukan perancangan, kesedaran dan kerjasama.
Tinggalkan Balasan