GEORGE TOWN, 23 Jun — InvestPenang, iaitu agensi penggalakan pelancongan kerajaan negeri, merancang mengadakan pertemuan dengan Intel untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai status semasa dan hala tuju pelaburan gergasi teknologi itu di negeri ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pertemuan itu bertujuan mendapatkan penjelasan mengenai laporan bahawa Intel merancang untuk mengecilkan operasinya di Pulau Pinang.
Beliau berkata sejak pengumuman pada 2021, Intel sudah melabur sebanyak US$7 bilion di Malaysia, termasuk pembangunan kemudahan pembungkusan cip 3D termajunya di Pulau Pinang, yang pertama dalam skala tersebut di luar Amerika Syarikat.
“Saya telah dijemput untuk melawat kemudahan itu beberapa bulan lepas untuk meninjau kemajuannya, dan kini selepas beberapa bulan, ia menunjukkan perkembangan baik dan hampir siap.
“Oleh itu, amat penting bagi kami untuk mengetahui rancangan mereka terutamanya melibatkan kemudahan yang telah mereka sediakan,” katanya pada sidang media pelaburan pembuatan Pulau Pinang yang diluluskan untuk suku pertama 2025 di sini hari ini.
Pelaburan US$7 bilion itu termasuk rancangan untuk mengembangkan operasi Intel di Kulim, Kedah menjadikan jumlah keseluruhan pelaburannya di Malaysia kepada US$14 bilion menjelang 2032.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata baru-baru ini beliau mengadakan perbincangan dengan Intel berhubung rancangan syarikat itu untuk pelaburan semula dan mengembangkan operasinya di Malaysia.
Katanya, setakat ini Intel telah melabur sebanyak RM50 bilion di Malaysia dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada 12,300 pekerja tempatan.
“Kehadiran Intel di Malaysia sejak 1972 telah berkembang seiring dengan peningkatan negara sebagai hab semikonduktor global.
“Pertemuan itu mencerminkan keyakinan berterusan Intel terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utamanya di luar Amerika Syarikat,” katanya dalam catatan di platform media sosial X semalam.
Tinggalkan Balasan