iPhone 16 Mula Dijual Semula Di Indonesia

JAKARTA, 12 Apri – Pembeli telefon pintar di Indonesia kembali ceria selepas model terbaharu Apple, iPhone 16, mula dijual di pasaran tempatan pada Jumaat, susulan penamatan larangan penjualan oleh kerajaan negara itu sejak Oktober lalu.

Larangan sebelum ini dikenakan kerana Apple didapati gagal memenuhi syarat peraturan tempatan yang mewajibkan sekurang-kurangnya 40 peratus komponen peranti dibuat daripada bahagian tempatan.

Bagaimanapun, gergasi teknologi dari Amerika Syarikat itu membuat perjanjian pelaburan dengan kerajaan Indonesia bulan lalu, sekali gus membuka semula laluan untuk pemasarannya.

“Saya sangat gembira mendengar berita itu kerana kami boleh membeli iPhone terus dari Indonesia,” kata Albert Wongso, 34, seorang perunding IT kepada AFP.

Dia yang kini menggunakan iPhone 11 sedang mempertimbangkan untuk menaik taraf ke iPhone 16 Pro.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda