KUALA LUMPUR, 25 Okt — Isu industri semikonduktor dijangka diberi perhatian utama semasa kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Mastura Ahmad Mustafa berkata industri semikonduktor kini sedang dalam siasatan di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan AS 1962, yang mana justifikasi bagi pengenaan tarif ke atas industri tersebut berkaitan dengan keselamatan ekonomi AS.
Beliau yang juga Ketua Perunding Malaysia bagi rundingan tarif dengan AS berkata ASEAN perlu menonjolkan bahawa industri semikonduktor di rantau ini kukuh, stabil dan terjamin, selain berupaya menyokong rantaian bekalan global.
“Ada beberapa bahagian dalam rantaian tersebut yang mana negara ASEAN merupakan pengeluar utama. Pada masa yang sama, rantau ini juga mempunyai sumber bahan mentah penting bagi industri semikonduktor, termasuk mineral kritikal.
“Jadi, ia juga merupakan sumber bekalan yang diperlukan oleh kebanyakan negara yang bergantung kepada industri semikonduktor,” katanya semasa menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Trump ke KL: Antara Prinsip, Pengaruh dan Prospek” pada Jumaat.
Trump dijadual tiba di Malaysia esok (26 Okt) bagi menghadiri sidang kemuncak tersebut,
Mastura berkata, melalui pertemuan dengan Trump para pemimpin ASEAN boleh menunjukkan kepada kuasa ekonomi dunia itu bahawa rantau ini bersifat neutral.
Menurutnya, sekiranya berlaku perang perdagangan antara AS dengan mana-mana negara yang menjejaskan bekalan, AS masih boleh mendapatkan bekalan dari negara ASEAN yang mengamalkan pendirian terbuka dan neutral.
Selain itu, katanya, rantau ini juga mengamalkan perdagangan yang boleh dipercayai dan selamat, selain memastikan keselamatan teknologi dari negara-negara sumber teknologi tersebut terjamin.
Sementara itu, Pengurus Kanan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Nur Fazrin Fatihah Adnan berkata Malaysia bersedia memainkan peranan penting sebagai hab semikonduktor yang strategik dan neutral.
“Dengan kehadiran Trump ke Malaysia kali ini, usaha yang (akan) dijalankan secara bilateral ialah untuk meningkatkan tahap hubungan dua hala atau Perkongsian Strategik Komprehensif.
“Apabila kita (Malaysia) berjaya meraih kepercayaan AS, ia membuktikan bahawa segala aktiviti yang dijalankan di negara ini tidak akan menjejaskan keselamatan ekonomi serta perdagangan mereka,” katanya yang juga menjadi tetamu dalam program tersebut.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Sidang kemuncak tersebut bakal menjadi antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok itu yang berperanan sebagai platform penting untuk memupuk kerjasama lebih mendalam serta menangani cabaran serantau dan global secara bersepadu dan inklusif.
Lebih 30 ketua negara dan kerajaan, termasuk pemimpin ASEAN dan rakan dialog utama seperti AS, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan Kanada, dijangka hadir.
Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sejak 1967, selepas menyandangnya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
















Tinggalkan Balasan