JS-SEZ: Johor Sasar Gaji Minimum RM4,000 Untuk Graduan Baharu

JOHOR BAHRU, 8 Julai — Kerajaan Johor dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan akan terus mempergiat sesi libat urus bersama pelabur dan syarikat di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dalam usaha merealisasikan kadar gaji minimum yang lebih kompetitif, termasuk sasaran RM4,000 sebulan bagi graduan.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perkara itu kini sedang diperhalusi melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) sebagai salah satu inisiatif strategik kerajaan negeri.

“Langkah ini penting bagi memastikan kesejahteraan pekerja tempatan terus terbela, selain menarik minat bakat-bakat berkualiti tinggi untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan isu bekalan air bersih terus menjadi fokus utama pentadbiran negeri dengan sokongan padu Kerajaan Persekutuan dalam meluluskan pelbagai projek infrastruktur baharu.

Menurut beliau langkah itu amat penting bagi menambah kapasiti agihan air terawat khususnya di kawasan strategik seperti JS-SEZ yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi baharu negeri ini.

“Perancangan pembangunan sumber air mentah berskala besar sehingga 2,000 juta liter sehari (JLH) menjelang tahun 2060 turut membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam menjamin kelangsungan bekalan air kepada rakyat dan sektor industri,” katanya.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memastikan segala pelaksanaan projek berjalan lancar, telus dan berimpak tinggi demi manfaat seluruh Bangsa Johor.

 “Semoga segala usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan segala aspirasi besar di bawah Agenda Maju Johor 2030 dapat direalisasikan demi kemajuan negeri yang seimbang, mampan dan inklusif, insya-Allah,” katanya.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda