KUALA LUMPUR, 3 Julai — Genting Plantations Bhd (GENP) mencatatkan jualan hartanah yang kukuh di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).
Dalam satu nota, bank pelaburan itu menjangkakan permintaan yang kukuh ini akan meningkatkan pendapatan hartanah GENP pada separuh kedua 2025 hingga 2026.
Setakat 31 Mac, 2025, syarikat itu mencatatkan jualan belum dibil sebanyak RM157 juta, kira-kira 1.2 kali hasil pendapatan hartanah bagi 2024.
Projek yang mendapat sorotan ialah U.Reka di Kulai, dengan semua 189 unit bukan Bumiputera bagi Fasa 1 habis dijual ketika ia dilancarkan pada 10 Mei lepas, serentak dengan pembukaan galeri jualan baharu.
Fasa penuh projek ini yang merangkumi 317 kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM275 juta, juga merupakan sebahagian daripada pembangunan perbandaran bernilai RM2.5 bilion seluas kira-kira 123.83 hektar (306 ekar). Kerja-kerja pembinaan juga dilaporkan berjalan lebih awal daripada jadual.
Satu lagi projek penting, Genting Industrial City (GIC) di Batu Pahat yang dilancarkan pada akhir 2024, telah mencapai kadar jualan 82 peratus (tidak termasuk lot Bumiputera) setakat Mei 2025. Projek ini mempunyai GDV sebanyak RM260 juta.
Maybank IB mengunjurkan GENP bakal merekodkan pendapatan hartanah sebanyak RM141 juta pada tahun kewangan 2025 dan RM147 juta pada 2026, masing-masing menyumbang RM32 juta dan RM34 juta kepada keuntungan.
Meskipun prestasi awal 2025 dilihat agak perlahan, segmen hartanah GENP, termasuk premium outlets, dijangka menyumbang kira-kira 17 peratus kepada pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bagi tahun kewangan 2025.
Sehubungan itu, Maybank IB mengekalkan penarafan “Beli” ke atas GENP dengan harga sasaran RM6.89.
Dengan projek berpermintaan tinggi serta kedudukan kukuh di JS-SEZ, GENP dijangka meraih manfaat daripada pertumbuhan pesat di Johor.
Tinggalkan Balasan