PUTRAJAYA, 10 Sept — Kadar pengangguran pada Julai 2025 kekal pada tiga peratus mencatatkan 521,600 penganggur, menurut Statistik Tenaga Buruh dikeluarkan Jabatan Perangkaan hari ini.
Mengulas prestasi keseluruhan pasaran buruh bagi tempoh itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh terus mengekalkan trajektori positif yang disokong oleh penambahbaikan berterusan dalam ekonomi domestik meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
“Sehubungan itu, bilangan tenaga buruh pada Julai 2025 terus merekodkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus, mencecah kepada seramai 17.47 juta orang (Jun 2025: 17.43 juta orang). Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 7.08 peratus seperti Jun 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bilangan penduduk bekerja terus berada dalam trend peningkatan pada Julai lepas dengan kenaikan 0.2 peratus, merekodkan 19.95 juta orang (Jun 2025: 16.92) manakala bilangan penganggur pada bulan tersebut bertambah 0.6 peratus kepada 521.6 ribu orang (Jun 2025: 518.7 ribu orang), dengan kadar pengangguran kekal pada tiga peratus seperti bulan sebelumnya.
Menurut Mohd Uzir, 75 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada Julai 2025 adalah terdiri daripada kategori pekerja yang meningkat kepada 12.71 juta orang pada Julai 2025, dengan peningkatan marginal 0.1 peratus (Jun 2025: 12.69 juta orang).
Dari segi sektor ekonomi, beliau berkata bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mengekalkan momentum yang menggalakkan pada bulan tersebut, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, penginapan serta makanan dan minuman serta maklumat dan komunikasi.
Pada masa sama, menurut Mohd Uzir, sektor pembuatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian turut merekodkan pertumbuhan positif dalam guna tenaga.
Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran bagi Julai 2025, Ketua Perangkawan menyatakan bahawa 79.8 peratus daripada jumlah penganggur pada bulan itu adalah terdiri daripada mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.
“Bilangan penganggur aktif bertambah 0.4 peratus kepada 416.2 ribu orang (Jun 2025: 414.4 ribu orang). Dalam kumpulan ini, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 64.3 peratus manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun meliputi 5.1 peratus,” katanya.
Mohd Uzir merumuskan bahawa pasaran buruh negara dijangka kekal stabil, inklusif dan berdaya tahan dengan prospek positif bagi bulan-bulan akan datang walaupun terdapat cabaran luar.
Katanya asas ekonomi domestik yang kukuh, pelaburan strategik dan dasar kerajaan yang proaktif akan terus menyokong pertumbuhan guna tenaga.
Tinggalkan Balasan