SEPANG, 5 Jun — Menteri Pengangkutan Anthony akan memberikan perkembangan terkini mengenai projek naik taraf perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu depan.
Beliau berkata pihak media turut akan diberi peluang meninjau sendiri kemudahan tren baharu itu sebelum ia mula beroperasi.
“Kita akan jemput media ke KLIA minggu depan untuk melihat sendiri perkembangan terkini perkhidmatan Aerotrain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Selangor Aero Park di sini, hari ini.
Perkhidmatan Aerotrain di KLIA dijadualkan kembali beroperasi pada suku kedua tahun ini.
Sebelum ini, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani, memaklumkan terdapat beberapa aspek teknikal yang masih perlu diperhalusi bagi memastikan sistem tren berkenaan beroperasi dengan lancar dan mematuhi semua keperluan keselamatan.
Untuk rekod, sistem Aerotrain yang menjadi tulang belakang pengangkutan dalaman KLIA sejak 1998 telah digantung operasinya sejak Mac 2023 susulan kerosakan.
Sistem Aerotrain baharu itu dijangka mampu meningkatkan pengalaman pengguna, mengurangkan gangguan operasi serta menyokong peningkatan jumlah penumpang udara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Tinggalkan Balasan