KUALA LUMPUR, 4 Mac — Kementerian Ekonomi akan mengadakan satu mesyuarat penyelarasan bersama Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan bagi membincangkan kesan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran terhadap ekonomi Malaysia.
Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan kerajaan bukan hanya mahu berbincang di peringkat awal, namun mahu melihat apa keputusan yang perlu diambil kerajaan sekiranya konflik itu berterusan.
“Insya-Allah, saya akan selalu mengemas kini apa pun perkembangan yang berlaku, kesannya itu kita cuba minimumkan kepada rakyat dan juga peniaga-peniaga kecil,” katanya dalam laman sesawang X hari ini.
Selain itu, Akmal Nasrullah berkata RON95 masih kekal RM1.99 seliter.
Pada awal pagi 28 Feb, 2026, Israel dan AS melancarkan serangan udara terhadap sasaran mereka di Iran.
Tehran kemudian bertindak balas dengan menyasarkan pangkalan tentera dan kemudahan logistik AS di beberapa negara Arab, menyebabkan sekatan ruang udara meluas di seluruh rantau itu.

















Tinggalkan Balasan