Kerajaan Lulus Insentif Cukai Modal Teroka Pacu Pelaburan Pemula Niaga – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Kerajaan telah meluluskan insentif cukai baharu bagi modal teroka (VC) yang turut merangkumi kadar cukai konsesi sebanyak lima peratus bagi tempoh sehingga 10 tahun untuk entiti dana yang layak dan melabur sekurang-kurangnya 20 peratus dalam syarikat pemula niaga tempatan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata insentif baharu itu juga melibatkan kadar cukai sebanyak 10 peratus bagi syarikat pengurusan modal teroka dan ekuiti persendirian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

“Insentif cukai baharu ini juga diperluaskan kepada perkongsian liabiliti terhad (LLP) di peringkat dalam negara, sekali gus dapat memperluaskan lagi asas pelabur bagi memperdalamkan dana modal untuk kalangan syarikat pemula niaga tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama selepas Khazanah Nasional Bhd dan anak syarikatnya, Jelawang Capital, mengumumkan pemilihan lima firma VC pertama di bawah Program Pengurus Dana Baharu dan Inisiatif Pengurus Dana Serantau pada majlis diadakan di sini, hari ini.

Kesemua langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh ekosistem modal teroka.

Amir Hamzah berkata Bank Negara Malaysia, seiring usaha itu juga, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memudahcara proses permohonan di bawah kerangka Dasar Pertukaran Asing (FEP) yang lebih cekap dan mesra pelabur.

“Oleh itu, firma VC dan ekuiti persendirian (PE) kini boleh memohon megikut saiz mandat dana masing-masing dan bukan lagi mengikut transaksi bagi tujuan pembiayaan rentas sempadan serta pelaburan yang melebihi had FEP,” katanya.

Pada masa sama, Amir Hamzah berkata langkah itu dapat memperkemas operasi VC dan PE yang membolehkan aliran modal rentas sempadan Malaysia dengan lebih cekap selain meningkatkan daya saing serantau.

Usaha itu, katanya, dapat meletakkan Malaysia sebagai hab modal teroka dan ekuiti persendirian yang berdaya saing di peringkat global.

Dalam pada itu, langkah Khazanah memilih lima firma VC pertama di bawah Program Pengurus Dana Baru Jelawang dan Inisiatif Pengurus Dana Serantau, turut memaparkan komitmennya untuk memupuk usaha  melahirkan kalangan pengurus dana tempatan selain memacu ekosistem modal teroka berkenaan.

Lima firma itu adalah Vynn Capital, Kairous Capital, First Move, AppWorks dan Granite Asia. 

Ketika mengalu-alukan pemilihan itu, Amir Hamzah berkata Jelawang Capital bukan setakat membiayai syarikat pemula niaga, tetapi turut menggalakkan mereka untuk berkembang ke skala rentas sempadan, menyelesaikan masalah sebenar selain mencipta pekerjaan.

“Kita mahukan ekosistem yang mana seorang siswazah dengan idea bernas dan berani dapat mencari pembiaya, mentor, hala tuju kawal selia serta pasaran.

“Ini bagi membolehkan mana-mana pengasas Malaysia dapat mengumpulkan modal di peringkat tempatan selain memanfaatkan ekosistem kondusif Malaysia, berkembang di peringkat serantau di Asia dan akhirnya dapat disenaraikan di Kuala Lumpur,” katanya.

Pada bulan ini, Kuala Lumpur telah disenaraikan dalam kelompok 20 Teratas Ekosistem Pemula Niaga Pesat Berkembang di peringkat global.

Selain itu, ekosistem VC Malaysia pada masa ini masih sederhana dengan pembiayaan berjumlah US$429 juta (US$1 = RM4.29) pada 2024.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda