KUALA LUMPUR, 16 Jun — Kesalinghubungan global berdepan tekanan berikutan ketidaktentuan yang meningkat, menjejaskan kebolehjangkaan, kebolehpercayaan serta kestabilan sistem perdagangan dan ekonomi global sedia ada, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Energy Asia 2025 hari ini, beliau berkata ketegangan geopolitik, tarif balas dan gangguan terhadap rantaian bekalan telah menggugat asas sistem ini, dengan kelemahan paling ketara dalam sektor tenaga dan iklim.
“Daripada menggalakkan kerjasama, kita menyaksikan polarisasi perubahan dasar didorong oleh persaingan strategik walaupun keselamatan tenaga masih tidak dapat dicapai ramai pihak,” kata beliau.
Mengulas mengenai peralihan tenaga saksama untuk Asia, beliau berkata rantau ini perlu memutuskan dan merangka seni bina kewangan yang jelas dan tersusun yang mampu membina keyakinan pelabur dan menggerakkan aliran modal yang lebih besar dalam projek tenaga boleh baharu.
“Ini penting memandangkan pada 2023, Asia Tenggara hanya menarik dua peratus daripada perbelanjaan tenaga bersih global, perbezaan yang ketara bagi sebuah rantau yang memiliki potensi besar dalam tenaga boleh baharu,” kata beliau.
Bagi Malaysia, Anwar berkata negara sedang berusaha menangani jurang dalam sektor tenaga boleh baharu melalui dasar seperti Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Koporat (CRESS), yang membolehkan syarikat mendapat tenaga bersih melalui grid nasional di bawah model akses pihak ketiga.
“Usaha juga sedang dijalankan untuk memberi insentif kepada pelaburan hijau melalui mekanisme seperti Skim Pembiayaan Teknologi Hijau,” kata beliau.
Menyentuh mengenai tonggak penting bahawa memacu peralihan tenaga terletak pada menaik taraf grid elektrik, Anwar menegaskan bahawa ASEAN telah mengambil langkah penting dengan mempercepat inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG) melalui memorandum persefahaman yang dipertingkatkan dan penubuhan rangkaian kemudahan pembiayaan APG yang khusus.
“Ini akan meningkatkan aliran pembiayaan rentas sempadan dan membawa kita lebih dekat kepada pasaran tenaga serantau yang lebih bersepadu,” kata beliau.
Anwar turut menegaskan bahawa meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan karbon dalam sistem tenaga sedia ada perlu terus menjadi fokus utama walaupun berdepan cabaran daripada penguasaan berterusan bahan api fosil, yang masih menyumbang hampir 80 peratus daripada bekalan tenaga global.
Beliau berkata peralihan tenaga global perlu berteraskan kesaksamaan, mengingatkan bahawa strategi penyahkarbonan yang mengabaikan keperluan golongan miskin dan mudah terjejas berisiko meningkatkan ketidaksamaan.
“Memastikan akses sejagat kepada tenaga mampu milik dan dipercayai bukan sekadar satu keperluan moral; ia merupakan asas kepada peralihan tenaga yang adil.
“Oleh itu, keselamatan tenaga perlu merangkumi lebih daripada sekadar kestabilan bekalan, yang melibatkan keadilan sosial dan akses yang inklusif,” kata beliau.
Anwar berkata pendekatan ini amat penting bagi Asia apabila keselamatan tenaga masih menjadi prasyarat kepada kemajuan.
“Dalam rantau ini bersedia untuk kebangkitan semula ekonominya, usaha ke arah pelepasan sifar bersih perlu mengiktiraf bahawa tenaga boleh baharu boleh dilengkapi dengan minyak dan gas yang dikurangkan pelepasannya.
“Pendekatan seimbang ini memastikan akses tenaga yang mampu milik, penting untuk meningkatkan taraf hidup,” kata beliau.
Tinggalkan Balasan