KESUMA Luluskan RM1.5 Juta Untuk PHEKS Zon Utara Tahun Ini

BUTTERWORTH, 22 Jun — Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meluluskan 124 permohonan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) bernilai RM1.5 juta bagi peringkat Zon Utara merangkumi Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata ia meliputi 26 permohonan bernilai RM261,988 di Pulau Pinang, 21 permohonan (RM384,670) di Kedah, 15 permohonan (RM211,569) di Perlis dan 52 permohonan bernilai RM656,722 di Perak.

“Secara keseluruhan, 1,049 permohonan PHEKS diterima tahun ini daripada pelbagai kesatuan sekerja di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 551 permohonan bernilai RM7.15 juta telah diluluskan.

“Saya berharap peruntukan ini boleh dimanfaatkan dengan baik untuk membina kesatuan kita,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan PHEKS 2025 Peringkat Zon Utara di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Kerajaan tahun ini memperuntukkan RM10 juta bagi pelaksanaan PHEKS berbanding RM5.8 juta tahun lepas dan merupakan paling tinggi dalam sejarah. 

Sebanyak RM7.15 juta diagihkan kepada kesatuan sekerja mengikut kluster yang diluluskan dan RM2.85 juta pula untuk peruntukan Program Outreach dan Program Khidmat Masyarakat (CSR).

Sim berkata KESUMA menyasarkan dua juta keanggotaan kesatuan sekerja di seluruh negara menjelang akhir tahun ini dan yakin ia dapat dicapai memandangkan bilangan kesatuan yang ditubuhkan tahun lepas adalah lima kali ganda daripada tahun-tahun sebelumnya.

Beliau berkata Kad Pekerja MADANI yang menawarkan diskaun hingga 30 peratus di lebih 200 syarikat barangan keperluan dan perkhidmatan kepada ahli kesatuan juga mampu menarik lebih ramai pekerja berdaftar dengan kesatuan.

PHEKS merupakan bantuan kewangan sekali beri kepada kesatuan sekerja yang berdaftar di Malaysia dan dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) di bawah KESUMA.

Sebanyak lima kluster ditawarkan di bawah bantuan tersebut iaitu Latihan dan Program Pendidikan, Kajian Pergerakan Kesatuan Sekerja, Penulisan Ilmiah Berkenaan Isu-Isu Perburuhan Berkaitan Kesatuan Sekerja, Pembelian Perkakasan Komputer dan Pendigitalan Rekod Pengurusan Kesatuan Sekerja.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda