KKM Kerjasama Dengan PDRM Tangani Isu Penjualan Vape

KULAI, 12 Julai — Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan libat urus dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara lebih agresif bagi menangani isu penjualan vape yang mengandungi cecair dadah.

Timbalan Menterinya Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata sebanyak 96 kertas siasatan berhubung kes vape mengandungi dadah direkodkan bermula awal tahun lepas hingga Mac. 

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, lebih 70 peratus daripadanya adalah sah mengandungi dadah ‘synthetic cannabinoid’ dan ‘amphetamine’.

“Kita sedang menjalankan sesi libat urus yang lebih agresif dengan PDRM, makmal kami juga membuat pemeriksaan lanjut mengenainya.

“Kita juga akan melakukan penguatkuasaan ke atas sumber terutama di peringkat pembuatan dan perkilangan untuk menyemak kandungan cecair vape tersebut,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Hari Tanpa Tembakau dan Hari Tuberculosis Sedunia di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Dr. Mohtar Pungut@Ahmad.

Lukanisman juga berkata penguatkuasaan dengan PDRM itu juga antara lain untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan cecair dadah dalam vape tersebut.

“Kita belum lagi arif berkenaan punca, di mana dan siapa pengeluar vape yang meletakkan kandungan dadah di dalam kartrij ataupun di dalam cecair vape tersebut.

“Kita masih mengumpul maklumat berkaitan penjualan vape mengandungi dadah ini sebelum mengambil tindakan menguatkuasakan akta yang ada termasuk di bawah bidang kuasa PDRM,” katanya.

Mei lepas, KKM telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memantau isu penggunaan vape yang didakwa melibatkan penyalahgunaan dadah.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr. Ismuni Bohari berkata KKM sedang meneliti peraturan sedia ada, sekiranya aspek penguatkuasaan masih relevan menangani permasalahan tersebut.

Antara undang-undang dimaksudkan adalah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2024) yang berkuat kuasa baru-baru ini.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda