Lebih 140,000 Pelancong Mendarat Di Melaka Menerusi Kapal Persiaran Mewah

MELAKA, 8 Dis — Sebanyak 143,218 pelancong mendarat di Melaka menerusi kapal persiaran mewah sejak November tahun lepas hingga Oktober lalu, menurut Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Beliau berkata ketibaan pelancong melibatkan enam kapal persiaran mewah, iaitu Genting Dream Cruise, Seven Sea Voyager Cruise, Riviera Cruise, Star Voyager Cruise, Regatta Cruise dan Nautica Cruise.

“Berdasarkan rekod Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) Jabatan Ketua Menteri Melaka, seramai 249,829 pelancong menaiki kapal persiaran ke Melaka.

“Bagaimanapun, hanya 143,218 yang mendarat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri hari ini.

Beliau menjawab soalan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) mengenai jumlah pendaratan pelancong kapal persiaran setiap bulan sejak 2024.

Mengenai pembinaan Terminal Cruise di Pulau Melaka, Abdul Razak berkata kerja pembangunan telah bermula dengan kemajuan fizikal sekitar lima peratus, termasuk pemasangan 60 cerucuk bagi struktur asas terminal.

“Kerajaan negeri menegaskan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana syarikat yang gagal menunaikan tanggungjawab mereka dan segala pelanggaran akan dikenakan tindakan sewajarnya tanpa kompromi,” katanya.