KUALA LUMPUR, 2 April — Malaysia Aviation Group (MAG) sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan pembiayaan pemegang saham daripada Khazanah Nasional Bhd tahun ini bagi menyokong komitmen pengembangan dan penyelenggaraan kumpulan pesawatnya walaupun terdapat peningkatan ketara aliran tunai operasi.
Ketua Pegawai Kewangan kumpulan Boo Hui Yee berkata kumpulan itu mencatatkan aliran tunai operasi sebanyak RM1.9 bilion pada 2025, peningkatan ketara daripada RM401 juta pada 2024.
Menurutnya kumpulan itu masih mempunyai lebihan RM1.77 bilion daripada sejumlah RM3.6 bilion yang diperuntukkan oleh Khazanah sejak 2019.
Baki tunai kumpulan itu berjumlah RM1.53 bilion bagi tahun kewangan 2025.
Beliau bagaimanapun berkata kumpulan penerbangan itu masih bergantung kepada dana pasca penstrukturan semula yang disediakan oleh Khazanah untuk memenuhi keperluan perbelanjaan modalnya, terutama pembayaran pra-penghantaran (PDP) untuk pesawat masuk dan keperluan penyelenggaraan berterusan.
“Bagi 2025, kami telah menggunakan sebanyak RM500 juta terutama untuk memenuhi komitmen perbelanjaan modal kami.
“Pada tahun ini, memandangkan lebih banyak pesawat akan tiba dan banyak bayaran PDP yang perlu dibuat, kami dijangka menggunakan sebahagian dana daripada Khazanah,” katanya pada sidang akhbar selepas taklimat perkembangan terkini prestasi tahunan MAG hari ini.
Beliau berkata MAG menjangka menerima penghantaran 10 lagi pesawat tahun ini selepas menerima 24 pesawat pada 2025 sebagai antara program pembaharuan kumpulan pesawatnya.

















Tinggalkan Balasan