Mah Sing Disenaraikan Di Fortune 500 Asia Tenggara Tahun Kedua Berturut-Turut

KUALA LUMPUR, 17 Jun — Mah Sing Group Bhd diiktiraf sebagai satu daripada syarikat terkemuka di rantau ini yang meraih kedudukan dalam senarai Fortune 500 Asia Tenggara untuk tahun kedua berturut-turut.

Syarikat pemaju hartanah itu dalam kenyataan hari ini berkata pengiktirafan berkenaan menekankan kedudukan Mah Sing yang terus menyerlah di peringkat serantau serta rekod prestasinya yang terbukti dalam melaksanakan pertumbuhan mampan, kecemerlangan operasi dan pembangunan berfokuskan pelanggan.

Pengasas dan Pengarah Urusan kumpulan Tan Sri Leong Hoy Kum berkata pengiktirafan berkenaan adalah bukti komitmen pasukan, keteguhan jenama dan keyakinan pelanggan terhadap syarikat.

“Memandangkan kami menyambut ulang tahun ke-30 pada tahun lepas, kami kekal menumpukan untuk mencipta nilai kepada pembeli rumah di Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan negara menerusi pembangunan berkualiti,” katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, Mah Sing merekodkan perolehan sebanyak RM2.52 bilion, mencerminkan keupayaan kumpulan untuk mengharungi keadaan pasaran melalui pelaksanaan yang berdisiplin, penawaran produk yang strategik serta tumpuan terhadap kecekapan operasi.

Syarikat itu turut mencapai jualan hartanah baharu berjumlah RM1.01 juta dalam tempoh lima bulan pertama 2025 berbanding RM992 juta yang dicapai dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan ini dipacu terutamanya oleh kadar pengambilan kukuh yang berterusan terhadap rumah mampu milik ‘Siri M’ yang menawarkan lokasi strategik, reka bentuk praktikal dan harga berdaya saing bagi memenuhi keperluan pembeli rumah di Malaysia,” kata Mah Sing.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda