KUALA LUMPUR, 29 Julai — Golongan mahasiswa digesa meneroka bidang keusahawanan dan menjadi pencipta kerjaya, bukan sekadar bergantung pada peluang pekerjaan sedia ada, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata inisiatif seperti program Bank Rakyat UNIpreneur dan RAKYATpreneur terbukti berupaya membentuk generasi usahawan muda yang lebih berdikari serta bersedia mendepani cabaran ekonomi masa kini.
“Kita mahu mahasiswa melangkah keluar sebagai usahawan, bukan hanya pencari kerja. Dengan mendaftarkan perniagaan secara sah, mereka berpeluang menerima pelbagai bantuan dan sokongan daripada kerajaan seperti latihan, pembiayaan dan bimbingan melalui TEKUN, MARA dan Amanah Ikhtiar Malaysia,” katanya.
Beliau berucap pada majlis perasmian program berkenaan di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini hari ini.
Ewon berkata UNIpreneur yang memasuki tahun keempat pelaksanaannya sejak 2021, bersama RAKYATpreneur yang dimulakan pada 2020, telah memberikan manfaat kepada 2,633 individu dengan sumbangan keseluruhan mencecah RM13.04 juta setakat Dis 2024.
“Angka ini bukan sekadar statistik, ia melambangkan kisah perubahan hidup, aspirasi yang direalisasikan dan potensi rakyat yang digilap melalui usaha bersepadu Bank Rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan penguasaan kemahiran digital dalam kalangan usahawan, terutamanya bagi memperluas pasaran dan meningkatkan kecekapan operasi, termasuk untuk produk luar bandar.
“Pendigitalan ialah lonjakan ke arah ekosistem keusahawanan yang lebih inklusif dan mampan, sejajar dengan aspirasi ekonomi digital negara dan kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata laporan program 2024 menunjukkan 63 peratus peserta RAKYATpreneur mencatat peningkatan jualan dalam tempoh enam bulan manakala 80 peratus mula menyimpan secara konsisten dan 76 peratus menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti.
Bagi program UNIpreneur, 65.6 peratus atau 328 peserta turut mencatat peningkatan jualan, dan semua peserta mula menabung secara konsisten setiap bulan.
Beliau berkata pada 2024, program ini diperkasakan melalui inisiatif RAKYAT Accelerator bagi menyokong alumni berpotensi dengan suntikan dana tambahan manakala menjelang 2025, tumpuan diberikan kepada pembangunan produk, pembungkusan serta integrasi teknologi kewangan.
“Usahawan akan mendapat akses kepada platform digital seperti eBiz Tools Marketplace, pembukaan Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i), penggunaan i-BizRAKYAT serta penyelesaian teknologi kewangan percuma selama tiga hingga enam bulan dengan pemantauan rakan strategik,” katanya.
Bagi tahun ini, sebanyak RM3.82 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan kedua-dua program yang dijangka memberikan manfaat kepada 800 peserta sepanjang 1 Ogos 2025 hingga 31 Jan 2026.
Tinggalkan Balasan