MAHB Lancar Perkhidmatan FastTrack Lapangan Terbang Yang Dinaik Taraf Di KLIA

SEPANG, 22 Julai — Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini melancarkan perkhidmatan Airport FastTrack (AFT) yang dinaik taraf di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ini sekali gus mengukuhkan komitmen syarikat bagi menyediakan perkhidmatan yang lancar, cekap dan premium kepada para pengembara.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Izani Ghani berkata inisiatif berkenaan seiring dengan strategi lebih meluas bagi meletakkan kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan global terkemuka dengan kemudahan dan perkhidmatan bertaraf dunia.

“Perkhidmatan AFT kami yang dinaik taraf kini menawarkan pengalaman menyeluruh temu mesra bagi memastikan penumpang menerima bantuan peribadi sebaik sahaja mereka tiba.

“Daripada sambutan di pinggir jalan, keutamaan pelepasan imigresen sehinggalah kepada bantuan bagasi, setiap sentuhan disusun dengan teliti bagi memberikan keselesaan dan kecekapan,” katanya dalam ucapan sewaktu pelancaran AFT Evolution di sini hari ini.

Mohd Izani berkata lapangan terbang itu turut menyediakan pusat tetamu dan AFT@Connect di Aras 5 (Perlepasan), KLIA demi keselesaan dan kepuasan penumpang.

Seiring dengan usaha pendigitalannya, beliau berkata, syarikat melancarkan laman sesawang baharu iaitu www.myairportfasttrack.com bagi menyediakan maklumat terperinci mengenai perkhidmatannya selain memudahkan urusan tempahan.

“Platform ini mencerminkan usaha kami untuk memanfaatkan teknologi dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta keselesaan penumpang dengan pintu pembayaran bersepadu yang memastikan pengalaman lancar dan selamat bagi semua pengguna,” katanya.

Pada majlis pelancaran AFT Evolution tersebut, Mohd Izani turut memperkenalkan duta jenama baharu MAHB, Sofia Zara Mustaffa Kamal iaitu pelumba kereta wanita termuda di Malaysia yang berusia 15 tahun.

Sofia Zara yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records kini bertanding dalam litar F1 Academy 2025, siri junior elit untuk bakat pelumba kereta satu tempat duduk wanita.

“Tekad, kemahiran dan semangat kecemerlangan Sofia Zara benar-benar melambangkan makna ‘pantas’, justeru, dia merupakan wajah yang sempurna untuk perkhidmatan AFT kami,” katanya.

AFT KLIA yang dikendalikan oleh KL Airport Hotels Sdn Bhd iaitu sebuah anak syarikat milik penuh MAHB, diperkenalkan sebagai perkhidmatan premium untuk mentakrif semula pengalaman lapangan terbang bagi para pengembara.

Direka untuk menyediakan kemudahan yang lancar, pantas dan bersifat peribadi, AFT memastikan penumpang menikmati keutamaan pelepasan imigresen, bantuan temu mesra khusus serta pemindahan yang mudah dalam terminal sekali gus mencerminkan komitmen KLIA terhadap kecemerlangan perkhidmatan.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda