KUALA LUMPUR, 25 Okt — Malaysia dan Afrika Selatan mengekalkan komitmen mereka untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala, dengan tumpuan utama menjadikan Afrika Selatan sebagai hab serantau bagi minyak sawit Malaysia.
Fokus utama perbincangan dalam pertemuan dua hala antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Perdagangan Afrika Selatan Parks Tau hari ini ialah memperluas akses pasaran Proton serta memperkukuh kerjasama dalam sektor automotif dan industri halal.
“Kami tegaskan hala tuju untuk memperkasakan Malaysia sebagai Gerbang ASEAN kepada Afrika Selatan dan Afrika Selatan sebagai Gerbang Malaysia ke Benua Afrika.
“Insya-Allah, komitmen ini akan menjadi pemangkin untuk pertumbuhan yang lebih dinamik,” katanya, sambil menambah potensi untuk memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Afrika Selatan amat luas terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan.
Tengku Zafrul berkata demikian menerusi catatan di laman X mengenai pertemuan dua hala dengan Afrika Selatan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Sabtu.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung di KLCC dari 26 hingga 28 Oktober di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, menjadi platform penting untuk menggalakkan kerjasama yang lebih baik selain menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh dan inklusif.
Selain pemimpin ASEAN, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi, antara lebih 30 pemimpin global yang dijadualkan hadir.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas kali terakhir menerajuinya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
















Tinggalkan Balasan