KUALA LUMPUR, 20 Nov — Pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa dijangka membincangkan tentang potensi sektor pelancongan serta kemungkinan mewujudkan kembali penerbangan terus antara kedua-dua negara.
Anwar dijangka tiba di Johannesburg, Afrika Selatan, sempena untuk lawatan kerja bermula Khamis, bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan Datuk Yubazlan Yusof berkata Malaysia melihat potensi besar dalam sektor berkenaan meskipun kedua-dua negara tidak mempunyai perkhidmatan penerbangan terus.
Beliau berkata sektor pelancongan antara Malaysia dan Afrika Selatan dilihat sebagai pemacu utama hubungan ekonomi dan dua hala kedua negara terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Sektor pelancongan mungkin satu-satunya yang kita ada potensi besar, tambahan pula kita akan menganjurkan TMM2026, yang itu sudah tentu kita akan bagi penekanan.
“Akan tetapi, masalah pertama kita adalah tiada ada ‘direct flight’ (penerbangan terus) antara Malaysia dan Afrika Selatan,” kata beliau pada sidang media yang diadakan secara dalam talian pada Rabu, sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke negara berkenaan bermula Khamis (20 Nov).
Sementara itu, Yubazlan berkata susulan lawatan Presiden Ramaphosa ke Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan lepas, terdapat cadangan penerbangan terus diwujudkan semula antara kedua-dua negara, namun tarikh sebenar masih belum dapat dipastikan.
“Saya dimaklumkan bahawa mungkin pada masa hadapan (penerbangan terus), Insya-Allah, sama ada melalui syarikat penerbangan nasional (Malaysia Airlines) atau syarikat penerbangan tambang rendah (AirAsia), saya belum pasti,” katanya.
Beliau berkata Malaysia dan Afrika Selatan tidak mempunyai perkhidmatan penerbangan terus sejak 2012.
Difahamkan bahawa Malaysia Airlines mempunyai penerbangan terus ke Johannesburg pada 1992 dan Cape Town pada 1994 sebelum perkhidmatan itu digantung.
Anwar, kini berada di Addis Ababa, Ethiopia, sempena lawatan sulung beliau ke benua Afrika.
Turut mengiringi beliau adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
















Tinggalkan Balasan