CYBERJAYA, 24 April — Malaysia berjaya mengekalkan tempat kesembilan daripada 143 buah negara sebagai pengeksport barangan teknologi tinggi terbesar di dunia pada 2023, pengiktirafan tertinggi yang pernah dicapai dalam tempoh 10 tahun.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata nilai eksport teknologi tinggi Malaysia telah meningkat sebanyak US$2 bilion kepada US$127 bilion pada 2023, manakala peratus eksport teknologi tinggi daripada keseluruhan eksport perkilangan juga meningkat kepada 58.69 peratus pada 2023 daripada 52.48 peratus pada 2022.
Beliau berkata negara turut merekodkan lebihan dagangan tertinggi dalam tempoh sedekad, berjumlah US$51.5 bilion
“Mengukur nilai eksport teknologi tinggi Malaysia bukanlah satu tugas yang mudah. Pertama sekali, takrifan “teknologi tinggi” mesti mematuhi piawaian antarabangsa termasuk yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Bank Dunia.
“Sejak sekian lama, Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) memikul tanggungjawab dalam mengira dan menjejak prestasi eksport teknologi tinggi Malaysia dan akan terus melaksanakan tugas penting ini pada masa akan datang,” katanya semasa pelancaran Laporan Prestasi Teknologi Tinggi Malaysia 2023 di sini, hari ini.
Taklimat pelancaran laporan itu turut dihadiri Pengerusi Bersama MIGHT (Industri) Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali, Pengerusi Bersama MIGHT (Kerajaan) Tan Sri Zakri Abdul Hamid dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Rushdi Abdul Rahim.
Hasnol Zam Zam berkata MOSTI komited dalam memperluas dan memperkukuh ekosistem inovasi negara demi menjamin daya saing berterusan untuk semua aspek pembangunan terutamanya dalam sektor teknologi tinggi.
Di samping MIGHT, beliau berkata beberapa institusi antarabangsa turut menggunakan indikator eksport teknologi tinggi sebagai ukuran utama untuk menilai daya saing dan kapasiti inovasi sesebuah negara.
Sementara itu, Rushdi berkata walaupun kumpulan produk elektronik telekomunikasi kekal sebagai penyumbang utama dengan US$36 bilion atau 80.58 peratus daripada jumlah eksport barangan teknologi tinggi dalam sembilan subkumpulan, masih terdapat potensi besar untuk pertumbuhan bagi kategori lain seperti peralatan saintifik, mesin pejabat komputer, jentera elektrik dan lebihan aeroangkasa.
Bagaimanapun, beliau berkata kategori-kategori itu harus disokong oleh ekosistem inovasi yang kukuh serta strategi penembusan pasaran yang berkesan.
“Selain menyumbang secara langsung kepada aspirasi negara untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan teknologi, ekosistem inovasi yang dinamik ini juga memperkukuh kedudukan Malaysia dalam mencapai kedaulatan teknologi demi memastikan negara bukan sahaja mampu menggunakannya tetapi turut menguasai dan mengawal teknologi strategik ini,” tambahnya.
Tinggalkan Balasan