Malaysia, Singapura Perkukuh Komitmen JS-SEZ Sebagai Pemacu Ekonomi Dua Hala

KUALA LUMPUR, 30 Jan — Malaysia dan Singapura memperkukuh komitmen terhadap Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) sebagai tunjang utama hubungan ekonomi dua hala.

Komitmen itu dinyatakan semasa kunjungan hormat antara Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat, pada Khamis.

Kedua-dua menteri berkata inisiatif itu kini beralih daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan, dengan menggabungkan skala ekonomi dan sumber Johor bersama modal, teknologi serta jaringan global Singapura bagi menarik pelaburan bernilai tinggi, mengukuhkan rantaian bekalan dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti di kedua-dua negara.

“Malaysia sedang memuktamadkan Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan JS-SEZ yang akan menggariskan visi jangka panjang, sektor keutamaan, zon utama serta pelan hala tuju pelaksanaan, termasuk aspek tadbir urus, insentif, infrastruktur dan pembangunan tenaga kerja.

“Pelancaran rasmi pelan berkenaan dijangka pada Mac 2026,” kata Kementerian Ekonomi dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua pihak bersetuju bahawa kerjasama Johor–Singapura merupakan perkongsian jangka panjang yang berasaskan kepercayaan, kesinambungan dasar dan manfaat bersama.

Mereka turut menyokong kerjasama berterusan dalam pelaburan bernilai tinggi, pendigitalan, pembangunan mampan dan pembangunan bakat, yang kesemuanya menyokong pelaksanaan JS-SEZ.

Selain itu, usaha memperkukuh Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor–Singapura (JSCMC) turut dibincangkan bagi meningkatkan keberkesanan penyeliaan dan tumpuan terhadap kerjasama ekonomi, khususnya berkaitan agenda JS-SEZ.

Kementerian itu turut memaklumkan struktur tadbir urus akan dibentangkan pada mesyuarat JSCMC akan datang di Singapura.

“Menteri Ekonomi juga menyatakan keyakinan bahawa dengan pelaksanaan yang berdisiplin serta kerjasama berterusan, JS-SEZ dan JSCMC akan menghasilkan impak ketara kepada perniagaan, pekerja dan komuniti di Malaysia dan Singapura,” katanya.