Malaysia Terajui Usaha Tingkat Tadbir Urus AI Melalui Rangkaian Keselamatan AI ASEAN – Gobind

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Malaysia akan menerajui usaha memperkukuh kerjasama serantau melalui penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN, sebuah platform bertujuan membangunkan piawaian bersama dalam tadbir urus, etika dan inovasi rentas sempadan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), selaras dengan peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Sehubungan dengan itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata kepercayaan perlu diterapkan dalam ekosistem digital bagi memastikan kejayaan transformasi digital yang terangkum dan dapat dicapai dengan jayanya.

Beliau berkata kementeriannya memberi tumpuan kepada pembentukan rangka kerja mampan yang mendukung pertumbuhan inovasi secara bertanggungjawab.

“Ia termasuk komitmen untuk keterlibatan secara berterusan melalui pendekatan mendengar, mempelajari dan bekerjasama dengan rakan kongsi yang mempunyai visi sama, supaya keputusan yang dibuat hari ini dapat membentuk asas kepada landskap digital yang selamat, terangkum serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Malaysia bertekad untuk memastikan setiap pembangunan digital mencerminkan nilai bersama iaitu maruah, peluang dan kemajuan untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Forum ASEAN-China mengenai Kerjasama Digital di Shanghai semalam, Gobind mencadangkan penubuhan rangka kerja pensijilan bagi sistem AI untuk menyokong penggunaan AI secara bertanggungjawab, termasuk penggunaan model bahasa besar (LLM).

Beliau berkata ia bermatlamat memastikan teknologi AI mencerminkan keutamaan negara, konteks budaya dan jangkaan masyarakat, sekali gus menanamkan kepercayaan pada setiap peringkat pelaksanaan.

Rangka kerja itu juga katanya akan berperanan sebagai pelindung serta pemudah cara, mengukuhkan keyakinan terhadap teknologi yang memacu ekonomi digital Malaysia.

Dalam ucapannya, Gobind sekali lagi mengulangi bahawa kepercayaan adalah asas kepada transformasi digital yang berkesan dan terangkum.

Beliau berkata seiring Malaysia memperkukuh kedudukan selaku peneraju digital di rantau ini, kepercayaan sentiasa menjadi tunjang dalam strategi negara, membentuk kerjasama antarabangsa serta mendukung kepada pembangunan teknologi yang sedang berkembang.

 Meskipun AI dijangka menyumbang sebanyak USD17.5 trilion kepada ekonomi global menjelang 2030 yang akan mengubah sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, pertanian dan logistik, beliau berkata merealisasikan potensi berkenaan memerlukan bukan sahaja inovasi tetapi juga struktur tadbir urus yang mampu membina kepercayaan.

“Penekanan Malaysia kepada dasar digital yang beretika, terangkum dan telus telah mendapat pengiktirafan global dengan pelaburan digital berjumlah RM163.6 bilion berjaya diperoleh pada 2024, menandakan keyakinan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap visi digital negara,” katanya.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda