PUTRAJAYA, 21 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan yang akan menjejaskan dasar negara termasuk rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berkaitan tarif.
Beliau berkata walaupun pelaburan dan perdagangan dengan AS adalah tinggi, Malaysia mempunyai ‘redline’ dalam rundingan iaitu dasar bumiputera tidak boleh diganggu meskipun dianggap ‘diskriminatif’ oleh pihak luar.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata peluang kepada syarikat tempatan juga perlu dipertahankan dalam rundingan dengan AS.
Beliau turut menegaskan pendekatan Malaysia lebih teliti dan tegas demi memastikan kepentingan negara terjaga dan hubungan perdagangan dengan negara lain termasuk China dan ASEAN terus diperkukuh sebagai langkah memperluas pasaran.
“Itu ‘redline’ kita dalam rundingan (tarif) dan sebab itu, rundingan kita lebih teliti dan tegas. Kita terus berdagang dengan semua negara tetapi tiada negara yang boleh meletakkan syarat yang menekan kita,” kata beliau pada majlis perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Anwar berkata hubungan erat beliau dengan pemimpin dunia terutamanya Brazil dan Mesir telah membuka peluang ekonomi strategik kepada Malaysia bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Beliau berkata hubungan baik dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva telah menjana hasil apabila Petronas dijemput untuk terlibat dalam penerokaan dan pengeluaran minyak di negara tersebut manakala syarikat Yinson Holdings dalam pembinaan kapal minyak dan gas untuk pasaran Brazil dan Peru.
“Hubungan syarikat Malaysia itu mudah kerana persahabatan kita. Selain peningkatan perdagangan dengan negara BRICS (gabungan ekonomi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan), Malaysia membuka jaringan baharu untuk kelangsungan negara dan (kita) tidak boleh bergantung pada satu negara sahaja,” kata beliau.
Di Mesir, Anwar berkata hubungan dengan Presiden Abdel Fattah el-Sisi juga membuahkan hasil apabila kerajaan Mesir memberi laluan kepada Proton untuk menjadikan negara itu sebagai hab pengeluaran bagi pasaran Afrika Utara.
Beliau berkata langkah ini telah menyumbang kepada peningkatan 34 peratus dalam perdagangan dengan Mesir dalam tempoh setahun.
Tinggalkan Balasan