KUALA LUMPUR, 11 Jun — Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memperkasa usahawan Bumiputera dalam sektor penyelenggaraan dan baik pulih motosikal menerusi Program Pembangunan Usahawan Motosikal MARA-PETRONAS (PUMP) MotoExpert.
Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata menerusi peruntukan itu, seramai 30 usahawan bengkel motosikal akan menerima kemudahan pembiayaan perniagaan sehingga RM300,000 setiap seorang pada tahun ini.
Katanya MARA turut menyediakan dana tambahan RM1 juta bagi tujuan latihan teknikal berstruktur kepada peserta terpilih, selain bantuan penjenamaan semula premis dan pembiayaan kemudahan perniagaan.
“Usahawan terlibat akan turut menerima sokongan rantaian bekalan alat ganti, penambahbaikan imej premis dan pembangunan sistem operasi bengkel yang lebih efisien dan kompetitif.
“MARA akan memantau pelaksanaan program secara menyeluruh kerana ia bukan sekadar menawarkan pembiayaan, sebaliknya merangkumi latihan, pemantauan serta kerjasama rantaian bekalan,” katanya kepada media selepas melancarkan program berkenaan di sini hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, MARA memaklumkan bahawa PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn. Bhd. (PLMM) akan membekalkan produk pelincir PETRONAS Sprinta secara langsung kepada bengkel MotoExpert tanpa melalui perantara, sekali gus meningkatkan margin keuntungan usahawan.
“PLMM juga akan membantu dalam aspek pemasaran, latihan teknikal serta menjalin kerjasama strategik bersama pemain industri luar,” menurut kenyataan itu.
Program ini terbuka kepada lepasan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA serta institusi lain yang telah menjalankan operasi bengkel motosikal sekurang-kurangnya enam bulan dengan jumlah jualan tahunan melebihi RM360,000, tertakluk kepada sesi temu duga.
Tinggalkan Balasan