Margin Keuntungan Kecil Beri Cabaran Kepada Kelangsungan PMKS – MEF

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu diberikan akses yang lebih mudah kepada pembiayaan serta sokongan kewangan kerajaan untuk memastikan pertumbuhan dan kelangsungan jangka panjang, kata Penasihat Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Penasihat MEF Datuk Shamsuddin Bardan berkata ini susulan kebimbangan mengenai margin keuntungan PMKS yang merosot.

PMKS yang dianggap sebagai tulang belakang ekonomi dengan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), mengalami kemerosotan margin keuntungan kepada hanya lima peratus berbanding 10 peratus lima tahun lepas, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam program “The Nation” terbitan Bernama TV bagi membincangkan tajuk “Malaysia’s Business Ecosystem: What’s Driving Growth”, dikendalikan oleh Jessy Chahal.

Beliau berkata susulan margin yang semakin kecil dan kekurangan sokongan kewangan, banyak PMKS terpaksa mendapatkan pinjaman daripada pemberi pinjaman tidak berlesen atau “Along”.

Keadaan itu akhirnya hanya akan meningkatkan kos dan meletakkan mereka dalam kedudukan kewangan yang lebih teruk.

Shamsuddin berkata sebanyak 98 peratus majikan di Malaysia terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk kira-kira 650,000 perusahaan mikro yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.

Secara keseluruhan, kumpulan itu mempunyai tenaga kerja yang besar dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dengan ketara, katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, ekosistem perniagaan Malaysia semakin dibentuk oleh peningkatan kos pematuhan dan kekurangan tenaga kerja, dengan perniagaan pula menghadapi cabaran yang semakin besar untuk mengekalkan operasi.

Memandangkan majoriti PMKS ialah majikan justeru mereka memerlukan bantuan kewangan untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ramai dalam kalangan mereka beroperasi dengan margin yang amat kecil manakala penampan tunai adalah terhad.

Keadaan itu menjadikan PMKS sangat terdedah kepada peningkatan kos buruh, kos pematuhan dan kos pembiayaan.

“Syarikat besar, sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global, menuntut lebih banyak klausa sosial bagi mematuhi keperluan keselamatan sosial dan perundangan buruh. Malangnya, peningkatan kos ini tidak disokong oleh semakan semula harga (produk),” katanya.

Shamsuddin berkata harga masih tidak berubah dalam keadaan margin yang semakin mengecil sehingga serendah lima peratus.

Margin keuntungan bagi perniagaan kecil lazimnya sekitar 10 peratus, katanya.

Sehubungan itu, Shamsuddin berkata penting untuk memastikan pembiayaan mudah diakses.

Bagaimanapun, banyak PMKS yang tidak mempunyai kertas kerja atau cagaran untuk mendapatkan pinjaman bank, katanya.

“Mereka perlu dibantu. Jika tidak, mereka akan beralih kepada pemberi pinjaman tidak berlesen, yang boleh menjadi sangat mahal. Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan dana untuk menyokong mereka,” katanya.

Shamsuddin, yang sebelum ini ialah Pengarah Eksekutif MEF selama kira-kira 25 tahun sehingga akhir 2024, melahirkan rasa kesal kerana banyak PMKS bergelut untuk menyerap kos yang tinggi akibat peraturan buruh yang ketat, obligasi keselamatan sosial dan keperluan kelestarian.

Perjanjian perdagangan antarabangsa serta keperluan pematuhan sosial oleh pembeli luar negara menetapkan had waktu bekerja, manakala usaha wajar modal insan pula meningkatkan kos operasi khususnya bagi syarikat pengeksport, katanya.

Bagaimanapun, harga kontrak, terutamanya bagi perkhidmatan rantaian bekalan dan kerajaan, kekal agak tidak berubah, katanya.

Kekurangan tenaga kerja telah menjejaskan sektor perladangan dengan kekurangan penuai mengakibatkan industri itu mengalami kerugian kira-kira RM14 bilion.

Sekatan terhadap pekerja asing telah memburukkan lagi isu itu, sekali gus menjejaskan produktiviti dan daya saing keseluruhan perniagaan.

“Syarikat dijangka melaksanakan pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Apabila berurusan dengan Kesatuan Eropah atau United Kingdom, syarikat perlu mematuhi keperluan usaha wajar modal insan. Pelaksanaan audit ini boleh menjadi sangat mahal,” katanya.