MARii, Petronas Bekerjasama Majukan Inovasi Automotif Dengan Teknologi AI

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menjalin kerjasama dengan Petronas Global Technical Solutions Sdn Bhd (PGTSSB) bagi merevolusikan penyelenggaraan kenderaan melalui teknologi termaju.

PGTSSB berperanan sebagai cabang pengurusan projek dan pengkomersialan perkhidmatan teknikal bagi Petronas.

MARii dalam satu kenyataan hari ini berkata kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada penerapan Teknologi Diagnostik dan Prognostik Termaju (ADaPT) milik Petronas dalam sektor automotif menerusi inisiatif ADaPTiV.

“Teknologi analitik jangkaan ini yang pada asalnya dibangunkan untuk mengoptimumkan prestasi aset dalam sektor tenaga kini disesuaikan untuk industri automotif,” katanya.

MARii berkata ADaPTiV menampilkan analisis jangkaan berkuasa yang dipacu kecerdasan buatan (AI) bagi menjangkakan kemungkinan kerosakan komponen selain mencadangkan tindakan pencegahan sebelum kerosakan berlaku.

“Dilengkapi dengan internet pelbagai benda (IoT), sistem ini mengumpul data masa nyata daripada komponen kenderaan selain membolehkan penyelenggaraan berasaskan keadaan yang tepat pada masanya dan berkesan.

“Digabungkan dengan analitik data besar, ia menjana maklumat berguna untuk meningkatkan kecekapan operasi kenderaan serta menyokong tingkah laku pemanduan yang lebih bijak,” katanya.

Institut itu berkata inisiatif berkenaan bagi menangani keperluan teknologi yang sentiasa berkembang dalam sektor automotif serta seiring dengan objektif strategik nasional.

“ADaPTiV menyokong pembangunan kenderaan generasi akan datang selain mobiliti sebagai perkhidmatan, seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Dasar Automotif Negara (NAP) 2020 yang mengukuhkan komitmen negara terhadap mobiliti pintar serta pengangkutan lestari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii Azrul Reza Aziz menggambarkan kerjasama ini sebagai satu pencapaian penting bagi institut berkenaan dan landskap mobiliti masa depan Malaysia.

“ADaPTiV mewakili gabungan hebat kepakaran automotif MARii dan analitik jangkaan bertaraf dunia Petronas yang membolehkan kami membina ekosistem kenderaan lebih pintar dan boleh dipercayai.

“Inisiatif ini merupakan pewujudan langsung komitmen kami bagi memupuk inovasi tempatan dan mencapai matlamat cemerlang seperti yang digariskan dalam NIMP 2030 dan NAP 2020,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Kanan Petronas bagi Penyelesaian Teknikal Kumpulan, Projek, Teknologi serta Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar Mazri Mohd Ali berkata kerjasama berkenaan menunjukkan komitmen Petronas terhadap kecemerlangan kejuruteraan serta inovasi merentas sektor.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan MARii yang membawa teknologi ADaPT kami ke dalam sektor automotif.

“Kami yakin ADaPTiV akan meningkatkan kebolehpercayaan, keselamatan dan kecekapan operasi kenderaan sambil mengurangkan kos dan mempromosikan pengangkutan lestari di Malaysia,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, MARii dan PGTSSB memperkenalkan prototaip berfungsi pertama ADaPTiV pada Malaysia Autoshow 2025.

“Prototaip tersebut dipamerkan di Pavilion MARii apabila pakar teknikal memperagakan teknologi itu dan berinteraksi dengan para pengunjung,” kata MARii.

Institut itu berkata, ADaPTiV dijangka meningkatkan keselamatan kenderaan secara ketara melalui penyelenggaraan proaktif, memanjangkan jangka hayat komponen melalui tindakan berasaskan jangkaan dan keadaan serta mengurangkan masa henti yang tidak dijangka, sekali gus menjimatkan kos yang besar bagi pengguna.

“Selain industri automotif, ADaPTiV berpotensi untuk aplikasi yang lebih luas dalam pelbagai sektor dengan menawarkan penyelesaian penyelenggaraan jangkaan yang meningkatkan kecekapan operasi dan kelestarian,” katanya.

Dikuasakan oleh AI, IoT dan analitik data besar, ADaPTiV bertujuan menyediakan penyelenggaraan jangkaan pintar secara masa nyata untuk komponen kenderaan yang akhirnya meningkatkan kebolehpercayaan, mempertingkatkan keselamatan dan mengurangkan kos penyelenggaraan.

Kerjasama tersebut dimeterai dengan acara menandatangani memorandum persefahaman yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda