MARTS Bawa Suara Malaysia Ke JARL Ham Fair 2025 Di Tokyo

MELAKA, 23 Ogos — Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS) sekali lagi mencatat sejarah apabila menghantar delegasi rasmi menyertai Japan Amateur Radio League (JARL) Ham Fair 2025.

Presiden MARTS Mohd Aris Bernawi berkata JARL Ham Fair merupakan pameran radio amatur terbesar di Asia yang berlangsung di Ariake GYM-EX, Tokyo, bermula hari ini hingga esok.

Beliau berkata penglibatan MARTS dalam pameran itu menonjolkan peranan penting masyarakat radio amatur Malaysia di peringkat antarabangsa, selari dengan slogan MARTS memberikan perkhidmatan menerusi radio.

“MARTS diwakili tujuh pengendali radio amatur dari Malaysia. Kehadiran mereka bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara komuniti radio amatur Malaysia dan Jepun, malah turut memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang komunikasi radio.

“Ia juga memberi peluang untuk memperkenalkan aktiviti serta perkembangan terkini komuniti radio amatur Malaysia, di samping bertukar pengalaman teknikal bersama penggiat radio dari seluruh dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pameran itu yang sudah 47 kali dianjurkan sejak 1978, merupakan satu-satunya pameran radio amatur terbesar di Asia, dengan MARTS mula menyertainya pada 2017.

Festival itu disertai kelab-kelab radio dari kira-kira 158 negara yang bernaung di bawah International Amateur Radio Union (IARU).