PETALING JAYA, 18 Jun — Kadar inflasi dijangka kekal terkawal dengan unjuran kenaikannya kurang daripada 0.25 peratus susulan pelaksanaan semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai ini.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF) Datuk Johan Mahmood Merican berkata unjuran itu berdasarkan anggaran peningkatan kutipan hasil susulan peluasan skop berkenaan adalah kurang daripada 20 peratus.
“Saya lihat ada unjuran firma tempatan yang menunjurkan impak kepada kadar inflasi dalam lingkungan 0.25 peratus manakala unjuran dalaman kami (MOF) lebih rendah sedikit yang masih sekitar angka berkenaan.
“Lingkungan 0.25 peratus itu mungkin satu tahap yang masih terkawal dari segi kesan kepada inflasi dan impaknya dari segi ke atas kos sara hidup secara umumnya,” katanya kepada Bernama selepas melakukan tinjauan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), hari ini.
Bank Negara Malaysia sebelum ini memaklumkan inflasi bagi tempoh suku pertama 2025 adalah dalam lingkungan 1.5 peratus dan bank pusat menyasarkan inflasi dalam julat 2.0 peratus hingga 3.5 peratus bagi 2025.
Pada 9 Jun lepas, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025.
Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan asas harian seperti daging ayam, lembu, kambing selain ikan, udang, sotong, sayuran, buah-buahan tempatan manakala kadar sama ada lima peratus atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan tertentu.
Antara barangan dinaikkan dari kadar 0 peratus ke lima peratus adalah king crab (ketam besar), ikan salmon, ikan kod, cendawan truffle, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera dan jentera industri.
Manakala beberapa barangan pilihan premium dinaikkan kepada 10 peratus seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.
Mengulas selanjutnya, Johan berkata langkah kerajaan untuk tidak mengenakan cukai jualan ke atas barangan keperluan asas harian adalah bagi mengelak kesan langsung kepada kos sara hidup majoriti rakyat selain memastikan kadar inflasi kekal terkawal.
Tinggalkan Balasan