NIF Tarik Pelaburan Berkualiti Tinggi, Sokong Transformasi Ekonomi – Liew

​KUALA LUMPUR, 11 Mac — Pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu (NIF) yang bermula pada 1 Mac lepas akan memastikan kemasukan pelaburan berkualiti tinggi bagi menyokong transformasi ekonomi ke arah berpendapatan tinggi dan berasaskan inovasi.

​Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata NIF turut menyasarkan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat selain memacu pembangunan di kawasan kurang membangun.

“Pelaksanaan NIF juga akan memperkukuh mekanisme pematuhan dan penilaian bagi memastikan setiap syarikat yang menerima insentif cukai memenuhi komitmen mereka melalui penyelarasan yang lebih sistematik,” katanya di Dewan Negara hari ini.

​NIF telah mula dilaksanakan bagi sektor perkilangan pada 1 Mac diikuti sektor perkhidmatan yang dijangka bermula pada suku kedua tahun ini.

​Beliau menjawab soalan Senator Azahar Hassan mengenai penyelarasan insentif kewangan dan cukai untuk menarik pelaburan berkualiti serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

​Liew berkata pengenalan NIF adalah seiring dengan perubahan landskap ekonomi global serta keperluan untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan rakyat.

“Kerajaan telah menilai semula pemberian insentif kewangan dan cukai agar lebih bersasar, berimpak tinggi serta memberi pulangan ekonomi yang optimum,” katanya.

​Mengulas lanjut, katanya kadar, jenis dan tempoh insentif diselaraskan berdasarkan pendekatan berasaskan hasil melalui penilaian komitmen pelabur menggunakan Kad Skor Aspirasi Pelaburan Negara (APN).

“Kriteria utama penilaian termasuk kompleksiti ekonomi, pewujudan pekerjaan bernilai tinggi, pengukuhan rantaian nilai tempatan, pembangunan kluster baharu dan sedia ada, peningkatan keterangkuman serta amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tata Urus.

“Pendekatan ini memastikan insentif yang diberikan secara langsung menyokong pelaburan berkualiti tinggi dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi bagi rakyat Malaysia,” katanya.