OCBC Bank Salur Pembiayaan RM351 Juta Kepada Pembangunan Strategik Di JS-SEZ

KUALA LUMPUR, 16 Jun — OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) menyalurkan pembiayaan sebanyak RM351 juta kepada See Hong Chen Group dan EXSIM bagi menyokong tiga pembangunan hartanah strategik di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata pembiayaan berkenaan melibatkan kerjasama antara EXSIM dan See Hong Chen Group bagi membeli tanah pegangan kekal di sepanjang Jalan Dato Abdullah Tahir, Johor Bahru.

Tanah tersebut diperuntukkan bagi pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sekitar RM1.8 bilion.

Bank tersebut turut menyalurkan pembiayaan kepada See Hong Chen Group bagi menyokong pembelian tambahan lot-lot tanah pegangan kekal di kawasan bandar Johor Bahru.

Ketua Perbankan Borong OCBC Bank Jeffrey Teoh berkata pembiayaan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak bank dalam menyokong pembangunan mampan di kawasan JS-SEZ.

“JS-SEZ merupakan peluang penting untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang, dan kami berbesar hati untuk menyokong pelanggan kami dalam memajukan pembangunan yang menyumbang kepada kemajuan rantau ini.

“Kami sentiasa berusaha untuk menawarkan nilai yang melangkaui pinjaman konvensional dengan menyediakan penyelesaian kewangan bersepadu, hasil kepakaran rentas entiti dan rentas sempadan menerusi rangkaian OCBC One Group, yang merangkumi Great Eastern, Bank of Singapore dan PacLease,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan See Hong Chen See Cherng Jye berkata projek-projek tersebut sejajar dengan strategi kumpulan untuk membangunkan aset berimpak tinggi di koridor pertumbuhan utama.

OCBC Bank kini mempunyai lapan cawangan di Johor, termasuk di Johor Bahru, Skudai, dan Taman Molek, yang kesemuanya terletak dalam kawasan JS-SEZ. 

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda