Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 21 Mac — Pasaran getah dijangka diniagakan tidak berubah dengan kecenderungan meningkat memandangkan pasaran terus memantau ketidaktentuan di sebalik konflik Asia Barat yang sedang berlaku, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata konflik itu mula memberi kesan yang besar kepada industri global, perdagangan dan kestabilan ekonomi secara keseluruhan.

“Peperangan melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel menyebabkan gangguan kepada sektor perdagangan,” katanya.

Low berkata laluan bekalan minyak dan gas terutamanya melalui Selat Hormuz, menghadapi gangguan ketara, seterusnya menjejaskan penghantaran subproduk berkaitan minyak yang penting untuk pelbagai sektor pembuatan.

Bagaimanapun, kesan segera terhadap permintaan getah sebahagiannya diimbangi oleh penggunaan global yang lebih perlahan, katanya.

“Buat masa ini, kekurangan yang terhasil diimbangi oleh permintaan lebih lemah akibat perang. Ini mewujudkan keseimbangan sementara tetapi ketidakpastian kekal tinggi,” katanya.

Low berkata cuti Aidilfitri yang panjang berkemungkinan akan melemahkan aktiviti perdagangan dalam jangka pendek.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 susut 26.5 sen kepada 785 sen sekilogram manakala lateks pukal kekal menokok 12 sen kepada 677 sen sekilogram.