Pengeluaran Getah Asli Susut 14.8 Peratus Pada September 2025 — DOSM

KUALA LUMPUR, 12 Nov — Pengeluaran getah asli susut sebanyak 14.8 peratus kepada 26,647 tan pada September 2025 daripada 31,285 tan pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli mencatat penurunan 16.3 peratus kepada 31,847 tan pada September 2024.

“Pengeluaran getah asli pada September 2025 bagi Malaysia disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (85.2 peratus) berbanding sektor estet (14.8 peratus),” katanya dalam kenyataan Perangkaan Getah Bulanan September 2025 yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Uzir berkata prestasi bagi tempoh suku ketiga 2025 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 36.9 peratus kepada 93,815 tan metrik berbanding 68,513 tan metrik pada suku kedua 2025.

“Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku ketiga 2025 pula mencatatkan penurunan 11.3 peratus berbanding suku ketiga 2024 (105,715 tan),” katanya.

Mohd Uzir berkata jumlah stok getah asli pada September 2025 meningkat sebanyak 0.7 peratus kepada 159,629 tan berbanding 158,157 tan pada Ogos 2025.

“Kilang pemprosesan getah menyumbang stok akhir sebanyak 81.9 peratus dan diikuti oleh kilang pengguna getah (18.0 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya.

Beliau berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 33,548 tan pada September 2025 atau penurunan sebanyak 15.1 peratus berbanding 39,517 tan pada Ogos 2025.

China kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli yang menyumbang 44.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada September 2025 dan diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (13.8 peratus), Jerman (12.8 peratus), Amerika Syarikat (5.5 peratus) dan Portugal (4.2 peratus).

Mohd Uzir berkata prestasi eksport itu disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.1 bilion pada September 2025 atau turun 8.2 peratus berbanding Ogos 2025 (RM1.2 bilion),” katanya.

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat mencatat peningkatan 1.5 peratus pada September 2025 kepada 577.89 sen sekilogram berbanding 569.48 sen sekilogram pada Ogos 2025.

“(Getah) sekerap meningkat sebanyak 1.7 peratus (September 2025: 604.53 sen sekilogram; Ogos 2025: 594.18 sen sekilogram).

“Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M atau SMR) meningkat 1.4 peratus dan 2.1 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata Data Harga Komoditi Bank Dunia menunjukkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Getah Spesifikasi Teknikal) meningkat 1.7 peratus daripada US$1.71 sekilogram kepada US$1.74 sekilogram manakala SGP/MYS (Singapura/Malaysia) turun 1.9 peratus daripada US$2.15 sekilogram kepada US$2.11 sekilogram.