KUALA LUMPUR, 30 Sept — Jumlah permintaan penumpang global, yang diukur menerusi hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), meningkat sebanyak 4.6 peratus bagi Ogos tahun ini, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Ketua Pengarahnya Willie Walsh berkata prestasi itu menandakan rekod baharu bagi musim perjalanan puncak musim panas hemisfera utara 2025, dengan pesawat beroperasi pada kadar isian tempat duduk tertinggi pernah dicatatkan iaitu sebanyak 86 peratus.
“Meskipun ketidaktentuan ekonomi dan ketegangan geopolitik terus mewarnai pasaran, trend pertumbuhan global masih utuh. Jadual penerbangan Oktober turut menunjukkan syarikat penerbangan bersedia menambah kapasiti sebanyak 3.4 peratus.
“Syarikat penerbangan sedang berusaha memenuhi permintaan perjalanan dengan mengoptimumkan kecekapan operasi, menjadikannya satu langkah lebih mendesak untuk sektor pembuatan aeroangkasa menangani isu rantaian bekalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Badan penerbangan itu berkata permintaan antarabangsa melonjak 6.6 peratus pada Ogos berbanding bulan sama tahun lepas, dengan faktor muatan mencatat paras tertinggi dalam sejarah.
“Laluan antarabangsa juga menjadi pemacu utama pertumbuhan, merangkumi 87 peratus daripada peningkatan bersih RPK global pada Ogos.
“Syarikat penerbangan rantau Asia Pasifik merekodkan pertumbuhan permintaan 9.8 peratus tahun ke tahun, dengan peningkatan kapasiti sebanyak 9.5 peratus dan faktor muatan mencapai 85.1 peratus. Pertumbuhan kukuh itu didorong oleh permintaan yang tinggi dari China dan Jepun, kata IATA.
Tinggalkan Balasan