Pertumbuhan Malaysia 2026 Diunjur Kukuh Pada 4.5 Peratus, Dipacu Permintaan Domestik

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2026 akan dipacu oleh permintaan domestik yang berdaya tahan meskipun persekitaran permintaan bersih luar yang berubah-ubah, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar dijangka berkembang pada 4.5 peratus.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata pertumbuhan tersebut disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, dengan keseluruhan permintaan dijangka meningkat 6.0 peratus, dipacu perbelanjaan swasta yang stabil pada 5.1 peratus dan pelaburan pada 9.7 peratus.

“Permintaan luar bersih diunjur kekal negatif (-14.8 peratus) apabila import barangan dan perkhidmatan (4.5 peratus) terus mengatasi eksport (3.5 peratus),” menurut bank itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Maybank IB berkata perbelanjaan swasta yang stabil akan terus disokong oleh langkah berkaitan pendapatan menerusi Belanjawan 2026, termasuk Fasa 2 kenaikan gaji dan pencen penjawat awam, pemberian tunai rekod kepada golongan berpendapatan rendah serta keadaan guna tenaga penuh, dengan kadar pengangguran rendah dan stabil pada 3.1 peratus.

Perkembangan ini dijangka mengukuhkan pendapatan isi rumah secara menyeluruh, kata bank itu.

 Bank itu berkata pemulihan sektor pelancongan pascapandemik serta peningkatan perbelanjaan pelancong bakal menerima rangsangan tambahan menerusi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Faktor ini membolehkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada paras sederhana akomodatif 2.75 peratus sepanjang 2026,” katanya.

Mengenai pelaburan, Maybank IB berkata kitaran meningkat masih berterusan, diperkukuh oleh indikator utama dan serentak yang kukuh seperti kelulusan pelaburan, import barang modal, serta pembiayaan perbankan untuk pembinaan bangunan industri, kilang dan tanah.

“Ini turut disokong oleh peningkatan perbelanjaan pembangunan dan perbelanjaan modal (capex) sektor awam yang disatukan,” kata Maybank IB.

Selain itu, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia dijangka merancakkan pembelian produk AS oleh syarikat korporat Malaysia serta multinasional yang beroperasi di negara ini dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sejajar dengan rancangan capex mereka.

Mengenai persekitaran luaran, Maybank IB berkata permintaan global kekal berubah-ubah susulan kitaran pemulihan teknologi dipacu kecerdasan buatan  (AI) serta hubungan perdagangan AS-China yang disulami antara ketegangan dan kerjasama. Ketika ini, kedua-dua negara berada dalam tempoh bertenang selama setahun sehingga Oktober 2026.

“Ini termasuk potensi kelebihan sekiranya wujud perjanjian perdagangan AS-China, serta risiko ketegangan kembali memuncak, selain ketidakpastian berkaitan tarif AS,” katanya.

Maybank IB turut menekankan isu tarif khusus AS, terutamanya tarif semikonduktor yang kini dikecualikan daripada tarif timbal balas AS sebanyak 19 peratus terhadap produk Malaysia, sambil menyatakan harapan agar ART Malaysia-AS dapat membawa kepada penyelesaian yang lebih memihak kepada Malaysia.