PET30: Langkah Strategik Transformasi Ekonomi Pahang – MB

KUANTAN, 24 Jun — Pahang akan melaksanakan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025-2030 (PET30) bagi mentransformasikan ekonomi menyeluruh berasaskan kekuatan sumber negeri, realiti semasa pasaran global dan aspirasi rakyat. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata PET30 dibina berasaskan tiga paksi utama iaitu kesejahteraan rakyat, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi yang dipacu sektor swasta.

Beliau berkata pelan induk itu juga akan terus memastikan pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar, kawasan Felda, kampung Orang Asli dan komuniti pedalaman dengan keutamaan diberikan kepada akses air bersih, pendidikan berkualiti, perumahan selesa serta liputan digital.

Wan Rosdy berkata Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang yang diketuai Tan Sri Nazir Razak memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju pelaksanaan PET30. 

Beliau berkata kejayaan PET30 tidak boleh bergantung kepada dokumen dasar semata-mata kerana ia mesti diterjemah kepada tindakan nyata, dengan pemantauan ketat, prestasi berasaskan petunjuk prestasi utama dan sinergi rentas agensi.

“Saya menyeru semua pihak untuk menjadikan 2025 hingga 2030 sebagai era pelaksanaan, bukan sekadar perancangan.

“Kita mesti keluar daripada zon selesa, bertindak secara tangkas dan bertanggungjawab sebagai arkitek masa depan Pahang yang lebih sejahtera,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda