KUALA LUMPUR, 12 Nov — Ringgit terus mencatat pengukuhannya apabila mencecah 4.12 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu urus niaga dibuka hari ini, paras tertinggi baharu dalam tempoh lebih 13 bulan susulan kelemahan mata wang negara maju itu berikutan data ekonominya yang lemah.
Pada 8.04 pagi ini, ringgit meningkat pada 4.1285/1440 berbanding dolar AS berbanding penutupan Selasa pada paras 4.1360/1395.
Ringgit juga mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh lebih setahun yang kali terakhir dicatatkan pada 30 September 2024 apabila ditutup pada 4.1210 berbanding dolar AS.
Selain itu, ringgit juga diniagakan lebih kukuh berbanding dolar Singapura pada paras 3.1733 iaitu tertinggi dan kali terakhir dicatatkan lebih tiga tahun lalu berbanding 3.1711 pada 14 Julai 2022.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata data pekerjaan terkini daripada Automatic Data Processing (ADP) AS menunjukkan tanda-tanda lanjut kelembapan dalam pasaran tenaga kerja negara itu.
Bagi tempoh empat minggu berakhir pada 25 Oktober, majikan swasta telah mengurangkan purata 11,250 pekerjaan dalam seminggu.
“Selain itu, peningkatan pekerjaan sektor swasta pada Oktober yang lebih rendah daripada jangkaan juga mengukuhkan keyakinan pasaran bahawa kitaran kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) mungkin telah berakhir, sekali gus menyebabkan indeks dolar AS mengalami kemerosotan semalaman.
“Perubahan ini telah meningkatkan sentimen terhadap mata wang Asia yang sensitif terhadap risiko, meletakkan ringgit pada kedudukan yang lebih kukuh,” katanya kepada Bernama
Sejajar momentum dolar AS yang kian reda dan asas domestik Malaysia yang kekal stabil, Mohd Sedek berkata prospek jangka pendek ringgit kekal positif, disokong oleh minat semula pelabur asing serta keyakinan yang semakin meningkat terhadap pasaran tempatan.
Selain itu, ringgit juiga diniagakan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama pada sesi awal.
Ringgit meningkat berbanding yen kepada 2.6788/6864 daripada 2.6798/6822 semalam, naik berbanding euro kepada 4.7825/7958 daripada 4.7829/7869 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4294/4445 daripada 5.4297/4343 sebelumnya.
Mata wang tempatan itu juga kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ini termasuk mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1733/1824 daripada 3.1752/1784 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.00/7.02 daripada 7.01/7.02.
Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7427/7892 daripada 12.7595/7762 dan naik berbanding rupiah Indonesia pada 247.2/248.1 daripada 247.7/248.0 semalam.
















Tinggalkan Balasan