KUALA LUMPUR, 1 Dis — Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS hari ini berikutan peniaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) minggu depan.
Pada 8 pagi, ringgit mendatar kepada 4.1300/4.1350 berbanding dolar AS, tidak berubah sejak ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data AS yang lemah baru-baru ini, disusuli dengan kurangnya keyakinan pengguna dan pasaran buruh yang lembap, telah mengukuhkan jangkaan kepada potensi penurunan Kadar Dana Persekutuan.
Pada masa sama, langkah Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) untuk mengekalkan kuota pengeluaran telah menurunkan harga minyak mentah, yang menyaksikan minyak mentah Brent berlegar pada sekitar US$62.38 setong.
“Ini menunjukkan inflasi global yang terkawal menjelang 2026. Buat masa ini, ringgit telah menunjukkan prestasi baik, meningkat lebih lapan peratus setakat ini pada tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam menjangka ringgit diniagakan antara RM4.12 dan RM4.14 berbanding dolar AS hari ini dalam keadaan sentimen pasaran yang berhati-hati.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama.
Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.4677/4743 daripada 5.4528/4594, berkurangan berbanding euro kepada 4.7912/7970 daripada 4.7768/7825 dan merosot berbanding yen kepada 2.6490/6523 daripada 2.6420/6456 semasa ditutup minggu lepas.
Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1872/1916 daripada 3.1813/1857 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.8632/8892 daripada 12.8245/8472 Jumaat lepas.
Sementara itu, unit tempatan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia dan peso Filipina, masing-masing pada 247.6/248.0 dan 7.04/7.06.

















Tinggalkan Balasan