KUALA LUMPUR, 8 Dis — Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, disokong oleh momentum positif minggu lepas apabila mata wang Amerika Syarikat (AS) itu terus rendah menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) selama dua hari yang bermula esok.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1035/1245 berbanding dolar AS daripada 4.1105/1140 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peniaga dan pelabur menjangka penurunan sebanyak 25 mata asas berdasarkan bank pusat AS dijangka memberi tumpuan kepada memacu pertumbuhan berikutan petunjuk yang ketara bahawa prospek pertumbuhan adalah lemah.
“Sehubungan itu, ringgit dijangka terus disokong dengan baik, dengan dolar AS-ringgit dijangka berada dalam julat antara RM4.11 dan RM4.12,” katanya kepada Bernama.
Ringgit mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun lima bulan pada Khamis lepas apabila ia diniagakan pada 4.1115/1165 berbanding dolar AS, mengatasi paras tertinggi sebelum ini yang dicatatkan pada 16 Jun 2021, apabila ringgit ditutup pada 4.1155.
Pada sesi pembukaan, ringgit turut mengukuh berbanding mata wang utama.
Ia meningkat berbanding pound kepada 5.4671/4951 daripada 5.4859/4905 semasa ditutup pada Jumaat lepas, mengukuh berbanding euro kepada 4.7769/8013 daripada 4.7912/7953 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.6426/6563 daripada 2.6536/6561.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1663/1827 daripada 3.1741/1773 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.96/7.00 daripada 6.97/6.98.
Ringgit turut meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8403/9133 daripada 12.9054/9221 sebelum ini, bagaimanapun hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 246.4/247.8 daripada 246.8/247.2 sebelum ini.
















Tinggalkan Balasan