KUALA LUMPUR, 9 Mac — Malaysia mungkin dapat mengekalkan harga bahan api RON95 pada RM1.99 seliter walaupun harga minyak global meningkat susulan ketegangan di sekitar Selat Hormuz, kata ahli ekonomi.
Namun, katanya langkah itu boleh meningkatkan tekanan fiskal dan menjejaskan rancangan penyatuan fiskal.
Ketua Ahli Ekonomi CGS International Securities Malaysia Nazmi Idrus berkata kerajaan telah mengambil langkah untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap subsidi bahan api antaranya dengan menstruktur semula sistem subsidi diesel dan RON95 pada tahun lepas.
Bagaimanapun, katanya, komitmen subsidi secara keseluruhan, sebagai peratusan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih kekal agak tinggi berbanding tahap sebelum pandemik.
Selain itu, beliau berkata, keadaan defisit fiskal dan hutang kerajaan negara memerlukan usaha penyatuan fiskal yang berterusan.
“Dalam keadaan semasa, lonjakan kos subsidi bahan api berpotensi menjejaskan trajektori penyatuan fiskal yang telah dirancang oleh kerajaan.
“Dari satu sudut, ia merupakan langkah yang bijak bagi kerajaan untuk memberi isyarat mengenai potensi risiko kenaikan harga kerana ia dapat mengurangkan ketidaktentuan perniagaan dan membolehkan orang ramai membuat persediaan untuk berdepan dengan kemungkinan tersebut. Ini lebih baik daripada terus berdiam diri,” katanya kepada Bernama.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia boleh mengekalkan harga siling RON95 pada RM1.99 seliter selama kira-kira dua bulan sekiranya ketegangan geopolitik semakin memuncak.
Nazmi berkata Malaysia menjadi pengimport bersih minyak sejak 2022 dan harga bahan api domestik ditentukan melalui Mekanisme Harga Automatik (APM) yang dijadikan penanda aras kepada Mean of Platts Singapore (MOPS) iaitu rujukan harga utama bagi produk petroleum bertapis yang diniagakan di rantau ini.
MOPS merupakan rujukan harga utama di seluruh Asia Tenggara termasuk Thailand, Vietnam dan Indonesia serta turut digunakan secara meluas di pasaran Asia-Pasifik yang lebih luas termasuk Australia dan Korea Selatan.
Ahli ekonomi itu berkata MOPS dan penanda aras minyak mentah global seperti Brent dan West Texas Intermediate (WTI) cenderung bergerak seiring yang bermaksud perubahan harga minyak global akan mempengaruhi penetapan harga bahan api domestik Malaysia.
Nazmi berkata ketegangan di Selat Hormuz juga boleh meningkatkan kadar penghantaran, premium insurans dan kos logistik bagi produk petroleum bertapis yang dihantar ke Asia.
Beliau menambah gangguan yang berpanjangan boleh menyumbang kepada peningkatan inflasi.
Katanya, jika harga purata minyak mentah Brent sekitar US$84 setong tahun ini, pertumbuhan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia berpotensi meningkat kira-kira 15 mata asas.
Beliau juga menyatakan bahawa imbangan minyak Malaysia semakin lemah kerana pengeluaran menurun daripada medan minyak yang matang manakala penggunaan domestik terus meningkat.
Nazmi berkata jika harga purata minyak mentah Brent sekitar US$84 setong tahun ini berbanding US$65 yang dianggarkan dalam belanjawan persekutuan, perbelanjaan subsidi boleh meningkat kira-kira RM10.9 bilion berbanding RM5.7 bilion daripada perolehan tambahan minyak, sekali gus melebar defisit fiskal kira-kira 0.2 peratus daripada KDNK.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Market Education Dr Carmelo Ferlito berkata Selat Hormuz kekal sebagai laluan sesak strategik dalam perdagangan tenaga global dengan kira-kira seperlima cecair petroleum dunia merentasi laluan perairan itu.
Beliau menambah apabila laluan ini berisiko, para pedagang segera menambah premium geopolitik ke dalam harga minyak mentah dan produk petroleum bertapis.
Ferlito menambah harga minyak global yang lebih tinggi tidak secara automatik memberikan ruang fiskal lebih besar untuk subsidi bahan api melalui Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Katanya, walaupun harga minyak yang lebih kukuh dapat meningkatkan aliran tunai Petronas dan hasil kerajaan berkaitan petroleum, pembayaran dividen tidak secara automatik diselaraskan mengikut lonjakan harga jangka pendek dan mungkin tidak sepenuhnya menampung peningkatan perbelanjaan subsidi.
Ferlito berkata, peningkatan perolehan huluan juga boleh diimbangi oleh kos subsidi hiliran yang meningkat apabila harga bahan api global naik yang bermaksud perolehan minyak luar jangka mungkin hanya sebahagiannya dapat mengurangkan impak fiskal.

















Tinggalkan Balasan