RUU Perolehan Kerajaan 2025 Hadkan Kuasa Menteri Kewangan, Perkenal Mekanisme Semak Dan Imbang

KUALA LUMPUR, 28 Ogos —  Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan (PK) 2025 sama sekali tidak menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh.

,Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kuasa Menteri Kewangan dalam hal ehwal perolehan telah diperuntukkan di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 yang memberikan kuasa menyeluruh terhadap dasar, kelulusan dan pengecualian berkaitan perolehan kerajaan.

“Di bawah RUU PK ini, kewajipan dan kuasa Menteri Kewangan dalam urusan perolehan diperuntukkan dengan jelas secara perundangan. Berbeza daripada keadaan semasa, keputusan Menteri Kewangan kini boleh dicabar dan dikaji semula melalui proses Panel Kajian Semula, dan seterusnya Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bacaan kali kedua RUU Perolehan Kerajaan 2025 di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini, yang melibatkan penyertaan 21 Ahli Parlimen.

Amir Hamzah berkata, RUU ini turut memperkenalkan tindakan punitif terhadap sebarang pelanggaran, malah Menteri Kewangan juga tidak terkecuali daripada akauntabiliti sekiranya gagal menzahirkan kepentingan atau melakukan campur tangan dalam proses perolehan.

Beliau menjelaskan melalui RUU PK ini, peruntukan kuasa untuk menetapkan kaedah selain perolehan terbuka dan bersaing diberikan kepada Menteri Kewangan di bawah Fasal 28(2) melalui Peraturan.

”Sungguhpun demikian, Menteri Kewangan dalam mengadakan Peraturan berkenaan kaedah selain terbuka dan bersaing hendaklah disertakan dengan kriteria, kelayakan, syarat dan sekatan.

“Jika ada ketidakpatuhan dalam pengunaan kaedah selain terbuka dan bersaing ini, keputusan perolehan yang dibuat boleh dibawa ke panel kajian semula dan tribunal oleh mana-mana pihak yang terkilan,” katanya.

Menurutnya, RUU PK tidak berdiri sendiri, sebaliknya disokong dan dilengkapkan melalui arahan serta pekeliling perolehan yang memperincikan dasar perolehan.

“Intipati penggubalan RUU PK adalah untuk memperkukuh keberkesanan tadbir urus melalui prinsip perundangan.

“Prinsip dalam RUU PK diperincikan dalam peraturan perolehan kerajaan, sementara kenyataan dasar perolehan akan dinyatakan dalam arahan, berlandaskan  dasar nasional utama termasuk agenda pembangunan Bumiputera,” katanya.

Amir Hamzah berkata, RUU PK meletakkan kewajipan dan kuasa dalam urusan perolehan kerajaan kepada standard dan prosedur yang seragam, sekali gus mengurangkan ruang untuk tafsiran berbeza, ketidakpatuhan atau salah guna kuasa.

 Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan bacaan kali kedua RUU itu berkata Kerajaan MADANI melakukan satu lagi reformasi besar yang tidak berani atau sanggup dilaksanakan pentadbiran terdahulu menerusi pembentangan Rang Undang Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025.

Menurutnya, penggubalan RUU PK merupakan kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) dan pelengkap Akta Tatacara Kewangan 1957, untuk memperkukuh pengurusan fiskal.

Anwar berkata akta itu bertujuan untuk menangani ketirisan dan mengoptimum sumber negara agar dapat terus memacu pembaharuan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.