SARA RM100, STR Fasa Satu Sehingga RM500 Mula Dikreditkan Pada Januari – PM

PUTRAJAYA, 5 Jan — Bantuan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas sebanyak RM100 diteruskan tahun ini dan akan dikreditkan pada 9 Feb depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bantuan itu membabitkan 2.2 juta rakyat Malaysia dan berharap ia akan digunakan bagi melakukan persiapan menyambut ketibaan Ramadan serta Tahun Baharu Cina.

“Bantuan ini dikreditkan pada 9 Feb bagi maksud persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan SARA untuk penerima miskin tegar akan dikreditkan pada 9 Jan manakala Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa satu yang berjumlah sehingga RM500 akan dikreditkan pada 20 Jan ini.