SERDANG, 23 Jun — Polis menahan 10 warga tempatan disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan saham mata wang asing, yang menyebabkan kerugian sehingga RM399,787 dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Puteri, Puchong dekat sini.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita berusia antara 21 dan 38 tahun itu dipercayai berperanan sebagai pengurus sindiket, pereka platform, perkhidmatan pelanggan serta pentadbir bagi mengendalikan dokumen syarikat.
Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu dipercayai menyasarkan warga tempatan serta asing, dan sudah beroperasi selama enam bulan.
“Modus operandi sindiket itu dipercayai memberi pulangan lumayan hanya untuk pelaburan pertama bagi mengumpan kepercayaan mangsa terus melabur di aplikasi pelaburan berkenaan.
“Sindiket itu mempunyai dua syarikat, namun tidak berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan disyaki membangunkan aplikasi sendiri untuk pelaburan terbabit. Ketika ini, polis masih menyiasat sebuah lagi syarikat yang dipercayai turut digunakan bagi memindahkan wang mangsa,” katanya pada sidang media di sini hari ini,
Muhamad Farid berkata hasil siasatan mendapati aplikasi berkenaan mempunyai 2,597 pelanggan dipercayai mangsa, dengan 2,482 daripadanya dari Malaysia, 111 dari Indonesia dan masing-masing seorang dari India, Mongolia, Afrika Selatan dan Bhutan.
“Hasil serbuan, polis merampas tiga unit monitor komputer, dua unit pemprosesan pusat (CPU), enam komputer riba, 14 telefon bimbit pelbagai jenis dan satu modem WiFi dipercayai digunakan dalam operasi pelaburan saham dalam talian yang tidak sah dengan nilai rampasan RM45,000,” katanya.
Muhamad Farid berkata semakan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, manakala ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.
“Suspek telah direman selama sehari sehingga semalam sebelum diberikan jaminan polis, namun ditahan semula bersabit laporan di Taman Melawati,” katanya, sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Tinggalkan Balasan