Strategi Lindung Nilai MAG Berhasil, Sasar China Bagi Pertumbuhan

KUALA LUMPUR, 5 April — Malaysia Aviation Group (MAG) sedang memperkukuh daya tahan terhadap ketidaktentuan harga bahan api melalui strategi lindung nilai yang tersusun bagi menampung peningkatan kos.

Pengendali syarikat penerbangan itu turut berusaha mengekalkan trajektori pengembangan yang stabil dengan tumpuan khusus kepada pasaran China yang menguntungkan serta pasaran utama Asia lain.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu dilantik, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata pihaknya sedang mengharungi persekitaran operasi yang mencabar susulan lonjakan harga bahan api manakala ketidaktentuan geopolitik pula amat menambah tekanan kos dalam industri penerbangan.

Beliau berkata meskipun menghadapi cabaran itu, MAG telah memperoleh bekalan bahan api yang mencukupi melalui gabungan kontrak jangka masa panjang dengan pembekal serta pelarasan operasi untuk memastikan kesambungan.

Konflik Asia Barat yang berterusan telah mencetuskan ketidaktentuan harga bahan api dan kadar pertukaran mata wang asing yang seterusnya menjejaskan keuntungan industri penerbangan, katanya.

Beliau berkata perkara itu melibatkan peningkatan kos bahan api sebanyak RM51 juta serta kesan negatif bernilai RM203 juta bagi untung rugi (P&L) akibat pergerakan dalam pasaran mata wang asing.

Lonjakan Kos Bahan Api Ekoran Ketegangan Geopolitik

Nasaruddin berkata kos bahan api, yang lazimnya menyumbang kira-kira 40 peratus kepada jumlah perbelanjaan operasi MAG, telah melonjak ekoran krisis semasa dan kini membentuk kira-kira 50 peratus daripada jumlah kos.

“Kenaikan harga bahan api adalah ketara, terutama dengan gangguan yang menjejaskan bekalan global. Ini mengakibatkan komponen kos bahan api kami melebihi tahap biasa,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Beliau berkata kira-kira 20 peratus daripada bekalan bahan api global telah terjejas berikutan konflik itu, memberikan tekanan tambahan terhadap syarikat penerbangan di seluruh dunia.

Bagi MAG pula, untuk beberapa lokasi yang mengalami bekalan yang terhad, MAG membawa bahan api tambahan dari stesen lain untuk mengekalkan operasi.

Langkah itu memerlukan perancangan teliti namun MAG mampu mengurusnya, katanya.

Strategi Lindung Nilai Serap Ketidaktentuan

Nasaruddin, yang mengambil alih teraju kumpulan syarikat penerbangan itu pada Februari 2026, berkata MAG melaksanakan strategi lindung nilai bahan api mengikut suku tahun, yang membolehkan pihaknya mengimbangi kestabilan kos dengan fleksibiliti pasaran.

Kumpulan itu telah melindung nilai bagi kira-kira 36 peratus daripada keperluan bahan apinya untuk tempoh suku pertama, meningkatkan liputan kepada 50 peratus pada suku kedua, sebelum menurunkan kepada 40 peratus pada suku ketiga dan 25 peratus pada suku keempat.

“Pendekatan ini membolehkan kami mengurus ketidaktentuan dengan lebih berkesan di samping masih mendapat manfaat daripada pergerakan harga yang mungkin berlaku,” katanya.

Beliau berkata lindung nilai kekal sebagai komponen penting dalam strategi kewangan MAG, khususnya ketika persekitaran harga bahan api boleh berubah dengan cepat akibat faktor luaran.

Selain lindung nilai, MAG juga menumpukan kepada pengukuhan aliran perolehan untuk menyeimbangkan kos operasi yang lebih tinggi, katanya.

Nasaruddin berkata pihaknya terus mengguna pakai strategi penetapan harga dinamik, melaraskan harga tambang mengikut permintaan pasaran serta keadaan persaingan bagi mengekalkan perolehan.

“Harga kami perlu kekal kompetitif. Kami tidak boleh menetapkan harga terlalu tinggi, dan pada masa sama, harga kami juga tidak boleh terlalu rendah. Semua ini perlu untuk mencapai keseimbangan yang tepat bagi mengekalkan perolehan kami,” katanya.

Di samping itu, syarikat penerbangan perlu meningkatkan pendapatan sampingan dengan menawarkan perkhidmatan nilai tambah seperti naik taraf tempat duduk dan produk dalam penerbangan untuk meningkatkan keuntungan bagi keseluruhan laluan, katanya.

“Matlamatnya adalah untuk memastikan setiap penerbangan kekal berdaya maju dari segi kewangan walaupun menghadapi peningkatan kos,” katanya.

China dan India Pacu Strategi Pertumbuhan

Dalam melangkah maju, Nasaruddin berkata MAG mengekalkan strategi pertumbuhan jangka masa panjang sehingga 2030, dengan tumpuan jelas kepada pengembangan kehadiran di Asia, terutama di China dan India.

Beliau berkata China akan menjadi pasaran keutamaan penting dalam satu hingga dua tahun akan datang, disokong oleh permintaan perjalanan yang kukuh serta peluang peningkatan kesambungan.

“Kami kini mengendalikan sembilan destinasi di China dan kira-kira 10 lokasi di India. Pasaran ini terus menunjukkan permintaan yang kukuh dan stabil, dan kami melihat potensi yang besar untuk pertumbuhan selanjutnya,” katanya.

MAG juga sedang menyasarkan peluang untuk memperkenalkan laluan baharu dalam beberapa bulan akan datang sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan rangkaiannya yang lebih luas.

Pada Jumaat, anak syarikat MAG, Malaysia Airlines Bhd, memperluas rangkaiannya dengan pelancaran laluan baharu ke Shenzhen dan Changsha, China, di samping menyambung semula penerbangan ke Fukuoka, Jepun, bermula Julai tahun ini.

Permintaan Kekal Kukuh Namun Waspada dengan Prospek

MAG terus mencatatkan permintaan penumpang yang mantap bagi kebanyakan rangkaiannya, dengan faktor muatan sentiasa berada dalam jajaran tinggi 80 peratus, hampir mencecah 90 peratus.

Aliran trafik yang kuat didapati dari Australia dan New Zealand, Australasia, Eropah, serta Asia Selatan, termasuk India.

Bagaimanapun, Nasaruddin mengingatkan bahawa permintaan boleh menyusut sekiranya konflik geopolitik berterusan atau kian memuncak.

“Jika konflik berlanjutan, ada kemungkinan permintaan menjadi rendah, terutama bagi perjalanan jarak jauh namun, pada ketika ini, permintaan masih stabil,” katanya.

Beliau berkata MAG kekal cekap dalam operasi, menyemak jadual penerbangan dan kapasiti setiap hari bagi menyesuai dengan keadaan yang sentiasa berubah.

Pelaburan Jangka Masa Panjang Kekal Tidak Terjejas

Walaupun mengharungi ketidaktentuan jangka masa pendek, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu menjelaskan pihaknya akan terus melabur dalam transformasi digital, penambahbaikan produk dan pembangunan modal insan bagi mengukuhkan kedudukan daya saing MAG.

“Tumpuan kami bukan sahaja mengurus cabaran jangka masa pendek malah juga memastikan kami kekal berada di landasan pelan jangka masa panjang. Kami akan terus melabur dalam keupayaan digital, warga tenaga kerja dan produk kami,” katanya.

Nasaruddin berkata walaupun menghadapi risiko luaran seperti ketidaktentuan harga bahan api dan perkembangan geopolitik yang sememangnya berada di luar kawalan pihaknya, strategi MAG tertumpu kepada keupayaan kebolehsuaian serta pelaksanaan yang berdisiplin.

“Dalam persekitaran ini, usaha itu melibatkan pengurusan jangka masa pendek dan panjang secara serentak. Kami yakin dengan strategi dan keupayaan kami untuk mengharungi semua cabaran ini,” katanya.

MAG merancang untuk menambah jumlah pesawat utama kepada 116 bagi 106 destinasi menjelang 2035.

 Fasa pertama pemodenan kumpulan pesawat akan selesai menjelang 2028, melibatkan sejumlah 25 pesawat Boeing 737-800 dan 20 unit A330neo.

Bagaimanapun, baki 20 pesawat A330neo akan mula diterima dalam tempoh dari 2029 hingga 2030.