KUALA LUMPUR, 22 Julai – Pemain industri perkapalan Malaysia mengemudi separuh pertama 2025 secara berhati-hati dalam mendepani cabaran pasaran serta beroperasi dalam persekitaran kompleks yang memerlukan strategi lebih cermat dan berhemat.
Rundingan berterusan antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), kadar fret yang agak tidak berubah dan ketegangan geopolitik yang menjejaskan laluan maritim, membayangi prestasi sektor itu.
Walaupun begitu, semasa tempoh tersebut pelabuhan tetap menunjukkan prestasi yang positif, merekodkan peningkatan dalam jumlah pengendalian kargo.
Pengerusi Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA) Mohamed Safwan Othman berkata walaupun kesan kadar tarif timbal balik Amerika Syarikat, yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos, adalah minimum kepada pemain industri, namun sektor itu terus memantau potensi kesan jangka sederhana bergantung kepada keputusan selepas penangguhan selama 90 hari.
Beliau berkata aktiviti domestik masih perlahan, dengan perhatian khusus diberikan kepada rundingan berterusan antara syarikat minyak nasional Petronas, dan Petros, yang telah berlarutan selama lebih dua tahun.
“Isu yang berpanjangan telah menyebabkan permintaan lebih rendah dalam pasaran Kapal Sokongan Minyak di perairan domestik kita.
“Bagaimanapun, Petronas dan TNB Fuel Sdn Bhd masing-masing telah menganugerahkan kontrak kapal jangka panjang dan kontrak tambang muatan pada tahun ini. Pemilik kapal Malaysia merupakan penerima majoriti kedua-dua kontrak itu,” katanya ketika di hubungi Bernama baru-baru ini.
Mohamed Safwan berkata segmen perkapalan lain secara umumnya neutral, dengan kadar fret sebahagian besarnya kekal tidak berubah sejak enam tahun lalu
Geopolitik, Laluan Pengangkutan Fret dan Sasaran Alam Sekitar
Mengenai ketegangan geopolitik yang menjejaskan laluan maritim utama, Mohamed Safwan berkata selain beberapa pemain global seperti MISC Bhd, kebanyakan pengendali perkapalan Malaysia memberi tumpuan kepada pasaran serantau, berkembang ke timur di China dan ke barat di India.
“Dari segi kos, kelewatan di laluan maritim utama seperti Terusan Suez dan Selat Hormuz telah meningkatkan pergantungan terhadap kapal ASEAN yang beroperasi di rantau ini. Ini telah menyebabkan kenaikan kadar carter kapal,” katanya.
Beliau berkata Asia Tenggara kekal stabil dengan laluan penghantaran yang tidak banyak terjejas.
Bagaimanapun, kelewatan dijangka berlaku dalam pemunggahan kargo bagi pasaran pengguna di Malaysia.
Mengenai sasaran penyahkarbonan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Mohamed Safwan berkata ahli MASA mengambil maklum mengenai peraturan itu, namun peralihan ke arah penyahkarbonan memerlukan usaha penting dan pembiayaan yang besar.
“Berkenaan sasaran baharu yang digariskan dalam Strategi Pelepasan Gas Rumah Hijau Sifar Bersih IMO 2050, pada masa ini ahli MASA sedang menilai beberapa pilihan yang masih belum dimuktamadkan.
“Industri maritim global masih menimbangkan penyelesaian semasa di IMO. Bagi kami, pemilik kapal Malaysia kini memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan dalam rangka peraturan sedia ada.
“Ini juga memandangkan kebanyakan kapal milik Malaysia telah lama digunakan, dan sebarang proses penggantian kapal perlu mempertimbangkan alternatif baharu seperti bahan api alternatif atau kapal dwi-bahan api,” katanya.
Mengenai unjuran, beliau berkata ketidakstabilan akibat ketegangan geopolitik telah mendorong penggiat industri untuk memanfaatkan peluang daripada lonjakan permintaan kargo yang dialihkan daripada laluan asal.
“Risiko utama masih kekal terutamanya ketegangan yang semakin memuncak antara kuasa besar global yang berdekatan dengan rantau ini seperti pertikaian antara China dan AS serta kedudukan Taiwan yang telah meningkatkan ketidaktentuan serantau.
“Isu ini menjejaskan kebebasan pergerakan dan kestabilan di Asia Tenggara,” katanya.
Perkapalan Serantau dan Visi ASEAN 2045
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini berharap supaya rundingan mengenai tarif yang sedang diadakan dengan kerajaan AS, menjelang kemungkinan pengenaan kadar tarif sebanyak 25 peratus terhadap eksport Malaysia bermula 1 Ogos ini, akan membantu mengurangkan kesan terhadap industri maritim Malaysia dan memastikannya kekal berdaya saing.
Loke berkata sektor maritim ketika ini menunjukkan prestasi yang baik, disokong oleh jumlah dagangan yang tinggi di pelabuhan yang dikendalikan oleh MMC Corporation Bhd dan Westports Holdings Bhd.
Penganalisis maritim Nazery Khalid berkata sektor yang menyediakan kemudahan perdagangan dalam kalangan anggota ASEAN dan rantau lain itu sememangnya menjadi nadi dalam melonjakkan pertumbuhan.
“Sasaran memacu kesalinghubungan dan perdagangan di Asia Tenggara untuk muncul sebagai kuasa ekonomi, tidak mampu dicapai tanpa prasarana pelabuhan yang mencukupi, logistik cekap, kesalinghubungan intra dan antara serantau serta perkhidmatan perkapalan yang mantap,” katanya.
Tidak kurang pentingnya adalah kepentingan persekitaran pengawalseliaan yang membantu, insentif pelaburan, prasarana digital serta fizikal yang seiring dengan piawaian antarabangsa dan merentasi rantaian bekalan maritim.
“Kelestarian, perubahan iklim, persaingan, harta intelek, perlindungan pengguna dan percukaian adalah aspek yang perlu ditangani bagi memastikan pergerakan kargo yang lancar, cekap, mampan, selamat sambil mengekalkan daya saing kargo serta keuntungan untuk pelabuhan, syarikat perkapalan, penyedia logistik dan pihak berkepentingan lain,” katanya.
Nazery juga mengingatkan keperluan untuk melaksanakan lebih banyak penambahbaikan di peringkat kebangsaan dan serantau walaupun Asia Tenggara diketahui mempunyai banyak faktor yang menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan kemudahan berkenaan.
“Bagi membolehkan ASEAN 2045 dapat memenuhi visi menjadi rantau ekonomi yang kompetitif, tidak harus wujud rasa selesa walaupun ada beberapa pelabuhannya yang sudah disenaraikan sebagai antara terbaik di dunia.
“Kemudahan ini sebaliknya perlu terus disokong dari segi peningkatan kapasiti, kecekapan, produktiviti dan penyampaian perkhidmatannya,” katanya.
‘ASEAN 2045 : Masa Depan Bersama’ yang menggantikan ‘ASEAN 2025 : Maju Bersama’ juga penting dan akan terus berperanan sebagai pelan strategik jangka panjang rantau ini untuk tempoh dua dekad akan datang.
Sehubungan itu, Nazery berkata negara-negara anggota ASEAN perlu terus melakukan usaha pelaburan dalam perdagangan, pengangkutan dan infrastruktur digital ketika persaingan rantau-rantau lain terus ketara.
Menurutnya, tindakan sedemikian penting dalam usaha menarik lebih banyak kargo, pelaburan asing dan kehadiran syarikat perkapalan global.
“Pelabuhan adalah pintu masuk perdagangan yang penting selain menjadi pemangkin pertumbuhan serantau. Perkhidmatan logistik yang menyokong operasi pelabuhan dan perdagangan serantau, juga penting bagi usaha penyepaduan Asia Tenggara ke dalam rantaian bekalan global,” katanya.
Tinggalkan Balasan