KUALA LUMPUR, 27 Mei — Technology Depository Agency Bhd (TDA) telah menaik taraf Sistem Dokumen Sokongan untuk Import dan Eksport Malaysia (MyCIEDS) kepada sistem digital bersepadu.
Sistem itu direka bentuk untuk mengukuhkan pengurusan dokumen sokongan import dan eksport bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
TDA iaitu agensi di bawah Kementerian Kewangan berkata Sistem Dokumen Sokongan untuk Import dan Eksport Malaysia atau MyCIEDS dibangunkan semula dengan teknologi terkini oleh Edaran IT Services Sdn Bhd di bawah program kerjasama industri (ICP) dan akan dilancarkan di seluruh negara.
Katanya, sistem itu dibina dengan teknologi Sistem Pengurusan Dokumen dan disepadukan dengan Sistem Maklumat Kastam.
Ketua Pegawai Eksekutif TDA Sharoul Jambari berkata ICP bukan hanya memenuhi keperluan perolehan tetapi juga bertindak sebagai pemangkin pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan dan penciptaan nilai jangka panjang kepada negara.
“Menerusi pendekatan ini, kita boleh memastikan kesan berpanjangan kepada ekonomi dan ekosistem industri tempatan.
“Sistem ini dijangka memberi manfaat kepada zon operasi JKDM di seluruh negara dan memberi kesan positif kepada kelancaran rantaian perdagangan serta daya saing ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.
MyCIEDS direka untuk memodenkan pengurusan digital dokumen sokongan import dan eksport, menyelaras pemantauan, penyimpanan dan capaian kepada dokumen berkaitan oleh JKDM, menyokong agenda kerajaan menerusi teknologi tempatan, serta mengukuhkan operasi kastam bagi mempercepatkan proses pelepasan barang.
Sehingga kini, TDA telah berjaya melaksanakan 142 program ICP di bawah perolehan kerajaan.
Tinggalkan Balasan