KUALA LUMPUR, 9 Jun — Syarikat-syarikat telekomunikasi Malaysia (telco) dinasihatkan untuk beralih melangkaui taktik tradisional dengan reka bentuk yang menarik serta startegi yang mengutamakan pendigitalan agar sesuai dengan pengguna hari ini bagi memenangi pasaran domestik yang matang dan sentiasa berkembang, menurut satu kajian.
Laporan dari GrowthOps Asia menjelaskan industri telekomunikasi negara sedang menjalani transformasi yang mendalam, dipacu oleh penumpuan pasaran, pelancaran 5G, peralihan pengawalseliaan dan pelaburan dalam infrastruktur utama.
Laporan yang bertajuk ‘Memenangi Pasaran Telekomunikasi Malaysia’ itu mendedahkan bahawa pasaran telekomunikasi negara sudah sangat tepu dan kompetitif, dengan sambungan mudah alih melebihi 129 peratus penduduk.
“Pasaran telco kita berada dalam titik pangsi, yang mana pengguna bukan sekadar mencari ketersambungan, mereka menuntut penyedia tunggal yang inklusif yang mampu memberikan sejumlah perkhidmatan dan nilai tambah yang bermakna.
“Pemain yang mampu memadankan produk inovatif dengan strategi memasuki pasaran yang relevan akan muncul sebagai pemenang,” kata Pengurus Besar Growthops Malaysia, Chris Greenough melalui satu kenyataan kepada Bernama hari ini.
Laporan itu juga menyatakan bahawa dipolarisasi pasaran menyaksikan Celcomdigi Bhd muncul sebagai peneraju dominan dengan anggaran pegangan 40 peratus selepas penggabungannya pada 2022, manakala Maxis Bhd diposisikan sebagai penyedia premium melalui kualiti rangkaian dan faedah kesetiaan.
Sementara itu, U Mobile Sdn Bhd dan Unifi oleh Telekom Malaysia Bhd bersaing secara agresif dengan penawaran nilai serta inovasi.
“Persepsi pengguna mendedahkan bahawa walaupun kualiti rangkaian dan harga sentiasa menjadi faktor utama dalam membuat keputusan, sentimen ke arah program ganjaran kesetiaan dapat mewujudkan peluang merentasi industri bagi menawarkan pembezaan.
“Belum ada pembekal yang terkehadapan dalam menjadi ‘Juara Ganjaran ‘, mereka hanya bersaing bagi menunjukkan ciri-ciri yang sama seperti data tanpa had dan akses 5G yang menggabungkan kualiti rangkaian yang terbaik, nilai harga, ciri inovatif dan ganjaran yang menarik untuk mendapatkan bahagian pasaran yang signifikan,” katanya.
Laporan itu seterusnya mendedahkan kewujudan peluang strategik bagi pertumbuhan seperti segmen bandar dan luar bandar yang kurang mendapat perhatian, pengguna digital pertama selain memanfaatkan penglibatan pelbagai saluran dan merangkul model langganan yang baru muncul.
“Ia juga menggariskan korelasi yang kuat antara kesedaran jenama, perkongsian pendapat dan pasaran, menekankan pentingnya kehadiran digital serta penglibatan pelanggan dalam mengekalkan kelebihan daya saing.
“Jenama telco yang memahami peralihan pilihan ini akan bertindak pada sentimen serantau serta yang bersifat generasi dan penggandaan kejelasan, kemudahan serta komunikasi yang boleh dipercayai akan meneraju gelombang kesetiaan dan pertumbuhan mudah alih Malaysia,” kata laporan itu.
Tinggalkan Balasan